Thursday 6 October 2011

81,000 IMM13 DIBERI KEPADA PATI



JABATAN Imigresen Malaysia telah mengeluarkan sebanyak 81,000 dokumen IMM13 sehingga 2009 kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi membolehkan mereka bergerak bebas tanpa menggunakan pas perjalanan di Sabah dan Labuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata dokumen itu hanya diberikan kepada dua kumpulan di Sabah iaitu pelarian Cina-Indonesia dan pelarian perang selatan Filipina.

"Pemberian dokumen kepada kedua-dua kumpulan pelarian ini adalah dibuat atas dasar perikemanusiaan dan untuk itu mereka telah diberi pengecualian pasport oleh kerajaan untuk tinggal sementara di Sabah dan Labuan," katanya ketika menjawab soalan Datuk Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang ingin tahu mengenai jumlah warga asing yang telah diberikan dokumen IMM13.

Nazri berkata terdapat enam skim penempatan pelarian perang selatan Filipina yang dibangunkan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR) dan diwartakan oleh kerajaan negeri Sabah.

"Mereka ialah di Kg Hidayat di Tawau, Kg Selamat di Semporna, Kg Bahagia di Sandakan, Kg Kinarut di Kota Kinabalu, Kg Telipok di Kota Kinabalu dan Kg Muslim di Labuan," katanya.

Namun begitu, beliau berkata disebabkan UNHCR tidak mampu menampung kos penempatan sejak 1970-an, kebanyakan mereka terpaksa tinggal di luar kawasan penempatan dan mendirikan rumah di kawasan setinggan.

"Manakala pelarian Cina-Indonesia yang rata-rata tinggal di kawasan bandar berjaya diasimilasikan dengan masyarakat Cina tempatan seperti di bandar Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau," katanya.

Menjawab pula soalan Datuk Chua Soon Bui (Bebas-Tawau) sama ada pemegang dokumen IMM13 diberi status kewarganegaraan, Nazri berkata mereka tidak diberikan status itu. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment