Saturday 8 October 2011

AKTIVITI TENAGA SOLAR BOSCH DIPANTAU



Oleh : MANIK MEHTA

INDUSTRI tenaga solar Jerman sentiasa memantau tindakan yang diambil oleh kumpulan teknologi negara itu, Bosch, di Jerman dan juga di Malaysia.

Sumber-sumber industri berpangkalan di Frankfurt berkata Bosch juga memasuki segmen perniagaan inverter fotovolta dan melaksanakan pengeluarannya secara agresif.

Malaysia, yang melaksanakan kerja-kerja perintis dalam perniagaan fotovolta, dilihat sebagai landasan bagi Bosch yang mengekalkan kedudukan yang kukuh di Malaysia.

Jurucakap Bosch, Andreas Kempf baru-baru ini memberitahu wartawan bahawa Bosch menubuhkan anak syarikat pada Januari, dikenali Bosch Powertec, yang mengkhusus dalam inverter.

Ia aktif dalam pasaran fotovolta sejak 2008 dan memperoleh, sepenuhnya atau sebahagiannya, Ersol Solar Energy, Aleo Solar dan Johanna Solar.

Dua bulan lepas, Bosch membuka pusat fotovolta baru di bandar Arnstadt, Jerman.

Bosch, yang mempunyai operasi pembuatan di Perancis dan Malaysia, akan ‘merapatkan jurang terakhir dalam rantaian nilai’ dengan pengeluaran inverter, kata Kempf.

Industri tenaga solar Jerman juga memantau perkembangan yang berlaku dalam industri teknologi solar di Malaysia.

"Iklim tropika Malaysia, yang secara purata menerima tujuh jam cahaya matahari sehari, sesuai untuk menghasilkan elektrik berasaskan solar," kata pagawai Majlis Perniagaan Jerman-Asia Pasifik yang berpangkalan di Hamburg.

Sektor tenaga Jerman meninjau undang-undang yang bertujuan meningkatkan industri tenaga boleh baharu dan memantau langkah oleh EQ Solar Technology International Sdn Bhd, anak syarikat Hangzhou Energy Solar Co Ltd dari China, yang merancang untuk mengeluarkan modul solar, sel dan wafer di Taman Teknologi Tinggi Senai di Johor.

"Ia adalah satu langkah yang menarik, tetapi kita perlu melihat di mana hala tujunya," kata Martin Peschachek, penganalisis Jerman untuk tenaga dan komoditi, memberitahu Bernama mengenai situasi Malaysia, yang membayangkan EQ mungkin merancang projek lain.

EQ dikatakan merancang untuk melabur kira-kira RM1.6 bilion bagi projek Senai.

Minat Jerman terhadap sektor teknologi solar di Malaysia juga dapat dilihat dalam jumlah kehadiran pelawat perdagangan pada acara yang dikenali sebagai ‘Malaysia: Potensi untuk Fotovolta dan Terma Solar’ pada Jun.

Pakar Jerman juga kagum dengan potensi besar Malaysia untuk penjanaan tenaga boleh baharu.

"Lokasinya berhampiran khatulistiwa kondusif untuk pengeluaran tenaga solar, dan hutan tropika yang luas boleh membekalkan kuantiti besar biomas.

"Kuasa Hidro menyediakan sebahagian besar campuran tenaga negara, khususnya di kepulauan Borneo dan mini-hidro yang diperoleh dari sungai telah meningkatkan bekalan elektrik di kawasan luar bandar," kata seorang usahawan Jerman yang kini terlibat dalam "fasa sensitif" perbincangan dengan sebuah syarikat Malaysia.

Satu lagi bidang yang menarik minat ialah tenaga dari sisa kelapa sawit.

Malaysia menghasilkan, secara purata, kira-kira 18 juta tan minyak sawit setahun, dieksport dan biogas diperoleh dari metana yang diperoleh daripada sisa buangan kilang sawit yang boleh menjana sehingga 20 peratus daripada elektrik negara menjelang 2020. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment