Sunday 16 October 2011

ASTRO CATAT REKOD TANAM 777 KARANG



ASTRO, penyedia perkhidmatan televisyen berbayar, hari ini mencipta sejarah apabila mencatat nama dalam Malaysia Book of Records selepas berjaya menanam 777 karang individu dalam tempoh sehari.

Program menanam terumbu karang melalui projek 'Beautiful Malaysia' di Taman Marin Tun Sakaran dijayakan 50 penyelam dari dalam dan luar negara, termasuk 25 kakitangan Astro.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen turut menyaksikan penanaman karang ke-777 di Ribbon Reef sebelum menyerahkan sijil Malaysia Book of Records kepada Ketua Pegawai Kewangan Astro Ahmad Fuad Kenali, yang mewakili Astro.

Ahmad Fuad berkata Astro ingin terlibat secara langsung dalam menjaga khazanah alam semulajadi kerana menyahut seruan kerajaan serta menyedari bidang pelancongan membantu menjana sebahagian besar ekonomi negara.

"Hasrat kami, iaitu untuk menzahirkan rasa cinta dan kesedaran tentang kepentingan keindahan dan kebersihan alam sekitar kepada orang ramai, yang sekaligus mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records, merupakan kenangan manis untuk semua," katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.

Sementara itu, Dr Ng ketika mengulas inisiatif Astro berkata usaha berkenaan perlu dipuji dan disokong kerana ia bukan sahaja mampu memulihara kelangsungan hidup terumbu karang di Malaysia, malah di seluruh dunia.

Beliau berkata terumbu karang merupakan khazanah negara yang perlu dilindungi kerana ia merupakan produk pelancongan penting kepada Malaysia dan berjaya menarik pelancong asing dari seluruh dunia.

Dalam pada itu, kata Ng, sektor Pelancongan dan industri berkaitan disasar menyumbang RM168 bilion kepada negara menjelang tahun 2020 berdasarkan jangkaan kehadiran 36 juta pelancong menjelang tahun berkenaan.

"Pada tahun 2010, pendapatan negara melalui sektor pelancongan ialah RM56.4 bilion," katanya kepada pemberita, di sini.

Ng berkata, Semporna yang mempunyai lebih 80 buah pulau dan terkenal dengan aktiviti selaman, merupakan aset produk pelancongan negara yang kian penting.

Katanya tahun lalu sahaja, pelancongan Semporna menyumbang RM190 juta kepada ekonomi negara dengan kehadiran lebih 40,000 pelancong yang kebanyakannya datang untuk aktiviti menyelam.

Ng berkata, kementeriannya melalui Tourism Malaysia telah berbincang dengan agensi pelancongan di dua bandar di Rusia iaitu Vladivostok dan Khabarovsk untuk mewujudkan penerbangan sewaan dari kedua-dua bandar itu ke Kota Kinabalu.

Perkara ini sedang diuruskan pegawai Tourism Malaysia, katanya.

Mengenai keputusan kerajaan Sabah untuk mengharamkan kegiatan pemburuan jerung di negeri ini bermula tahun depan, Ng berkata beliau menghormati pendirian kerajaan negeri kerana tujuannya ialah bagi mewujudkan persekitaran pelancongan yang mampan. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment