Monday 10 October 2011

BAJET 2012 BUKTI BN DAHULUKAN RAKYAT



SIMBOLIK.....Kurup memotong kek sebagai tanda simbolik rasminya Pejabat PBRS Kuamut.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

TIMBALAN Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup berkata belanjawan 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada Jumaat lepas, sebagai satu bukti bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) mendahulukan kepentingan rakyat, tanpa mengira fahaman mahupun latar belakang politik.

Katanya, setiap kategori daripada belanjawan berkenaan menekankan kebajikan rakyat sekali gus memberikan manfaat kepada semua golongan dan lapisan masyarakat di negara ini.

“Ini secara tidak langsung mengurangkan beban rakyat, terutama dalam soal mengurus perbelanjaan harian memandangkan belanjawan kali ini sangat istimewa kerana mengambil kira kebajikan dan paling penting, tidak sesekali akan membebankan mereka,” kata Kurup semasa ditemui selepas menyempurnakan perasmian pembukaan Pejabat Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Bahagian N.47 Kuamut, di Bandar Indah, Batu 4, Jalan Utara, Sandakan, petang kelmarin.

Tegas Kurup, rakyat sewajarnya mengalu-alukan belanjawan yang pada pandangan beliau merupakan durian runtuh kepada seluruh rakyat jelata di negeri ini.

Kurup yang juga Presiden PBRS menegaskan bahawa belanjawan 2012 menjana potensi rakyat dalam bidang perniagaan apabila turut menyediakan pelbagai keistimewaan kepada yang berminat dan berharap rakyat merebut peluang yang disediakan.

Sementara itu, Kurup berkata PBRS Kuamut sudah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan diadakan kelak dan mengakui PBRS tiada masalah untuk mempastikan kemenangan calon BN yang akan bertanding di kawasan tersebut.

"Kita sudah ada lebih 1,000 ahli PBRS di Kuamut dan saya tekankan kepada pimpinan di kawasan ini, supaya dapat menjaga ahli-ahli ini untuk mempastikan mereka mengundi BN pada pilihan raya nanti,” kata Kurup menegaskan jentera PBRS telah mengenal pasti kedudukan pengundi memandangkan parti lawan sanggup berbuat apa saja untuk menang pada pilihanraya umum akan datang.

Sehubungan itu, Kurup meminta ahli-ahli PBRS supaya memberikan sokongan yang padu kepada BN demi kemenangan pada pilihan raya nanti.

Menurutnya, BN perlu dikekalkan kerana ia adalah parti terbaik untuk membela nasib rakyat di negeri ini.

Ditanya sama ada PBRS akan meletakkan calonnya di Kuamut, Kurup berkata ia akan diserahkan kepada Perdana Menteri dan Pengerusi BN Sabah untuk membuat penilaian siapakah calon yang akan bertanding bagi mewakili BN di setiap kawasan.

"Ia semunya terserah kepada Perdana Menteri. Tapi kita perlu pastikan kemenangan calon BN kelak," kata Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan.

No comments:

Post a Comment