Sunday 9 October 2011

BAJET 2012 PENJANAAN MODAL INSAN



TRADISI…Jamawi dikalungkan dengan selendang suku kaum Murut sejurus tiba untuk merasmikan program tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

BAJET 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd.Najib Tun Razak Abdul Razak pada petang jumaat di Parlimen dilihat sebagai bajet yang menyeluruh tanpa meminggirkan kepentingan usaha menjana model Insan Cemerlang melalui pendidikan.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tenom Jamawi Jaafar berkata, ini terbukti dengan beberapa peruntukan yang diumumkan dalam bajet tersebut yang dapat membantu meringankan beban rakyat yang khususnya golongan yang berpendapatan rendah agar anak-anak dapat meneruskan persekolahan tanpa sebarangan kekangan.

“Peruntukan yang mesra rakyat khususnya dalam bidang pendidikan ini sudah tentu turut menjana serta memperkasakan mutu pendidikan negara khususnya untuk mempertingkatkan mutu serta pencapaian akademik pelajar di luar bandar,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program bersama pelajar dan pendidik di SK Bakuku, Tenom, kemarin.

Jamawi yang juga Exco Pergerakan Pemuda berkata demikian ketika diminta mengulas Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Najib yang juga Menteri Kewangan khususnya yang berhubung kait dengan keperluan pendidikan dalam bajet tersebut.

Menurut Jamawi jika sebelum ini masalah yuran persekolahan menjadi beban kepada ibubapa pelajar di luar bandar yang berpendapatan rendah namun masalah tersebut tidak timbul pada tahun hadapan malah katanya dalam bajet 2012 yang dibentangkan pelajar dari tingkatan satu hingga lima turut menerima bantuan persekolahan

“Peruntukan berjumlah RM50.2 bilion dalam Bajet 2012 membuktikan komitmen kerajaan Barisan Nasional bagi mempastikan rakyatnya dapat menerima pendidikan yang terbaik kerana kepentingan bagi menyediakan modal insan yang berilmu pengetahuan dan berkemahiran begitu amat penting kepada negara yang akan menuju status negara maju,” jelas Jamawi.

Mengulas peruntukan membabitkan RM 1 Bilion yang disediakan melalui tabung Khas penyelanggaran sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik pulih bangunan sekolah penyelenggaran, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan, beliau berharap peruntukan tersebut dapat disalurkan sebaik mungkin terutamanya sekolah sekolah di kawasan luar bandar di negeri ini yang didapati masih daif dan memerlukan peruntukan segera untuk penambahanbaikan dan juga penyelanggaraan.

Dalam pada Jamawi berharap dari sejumlah besar peruntukan dalam Bajet 2012 yang dikhususkan dalam sektor pendidikan pelajar dan ibu bapa perlu mengambil peluang yang disediakan oleh kerajaan ini untuk memperkasakan mutu dan pencapaian akademik pelajar khususnya di sekolah sekolah di kawasan luar bandar.

“Begitu juga sektor korporat, swasta badan NGO perlu meneruskan tanggungjawab sosial mereka bagi sama-sama memperkasakan sektor pendidikan negara kerana tanggungjawab ini tidak semestinya disandarkan, semata-mata kepada kerajaan,” katanya.

Tambahnya, bagi Pergerakan Pemuda Umno Tenom agenda untuk memperkasakan mutu pendidikan di kawasan tersebut merupakan keutamaan dan sebelum ini telah banyak program program yang berhubung kait dengan soal pendidikan telah dilaksanakan dan usaha tersebut menurut Jamawi akan diteruskan dari masa ke semasa.

No comments:

Post a Comment