Sunday 16 October 2011

BAKTI JAYAKAN SELANGKAH KE UNIVERSITI



TAHNIAH…Lajim diiringi oleh Rektor UiTM Sabah, Dr.Haji Adul Kadir Haji Rosline, Isteri Speaker Dewan Rakyat Puan Sri Hadijah Teng Abdullah dan Pengerusi Pengajur Program Datin Maizatul Akmam Datuk Haji Ahmad Alawi menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta program tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

GENERASI muda disaran merebut peluang kemudahan pendidikan yang disediakan kerajaan bagi membolehkan mereka dapat melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan berkualiti dan menyediakan pakar dalam kalangan rakyat di negara ini, khususnya dalam bidang seperti perubatan, pendidikan dan ekonomi untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pakar dari luar negara.

Katanya, generasi muda yang lengkap dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran mampu membantu meneruskan pembangunan dan kemajuan negara pada masa depan sekaligus mencapai status negara maju menjelang 2020.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program 'Selangkah Ke Universiti' di Kampus Universiti Teknologi Mara Kota Kinabalu anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI), petang kelmarin.

Hadir sama Rektor UiTM Sabah, Dr.Haji Adul Kadir Haji Rosline, Isteri Speaker Dewan Rakyat Puan Sri Hadijah Teng Abdullah dan Pengerusi Penganjur Program Datin Maizatul Akmam Datuk Haji Ahmad Alawi.

Sehubungan itu, Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort menggesa pelajar di bandar mahupun luar bandar agar berusaha untuk menjejakkan kaki ke menara gading, walaupun berasal dari keluarga kurang berkemampuan kerana hanya pendidikan yang baik dan cemerlang dapat menjamin kejayaan, sekaligus membantu keluarga keluar dari belenggu kemiskinan.

“Kemiskinan bukan lagi faktor penghalang kepada kejayaan pelajar untuk menimba ilmu pengetahuan kerana kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan yang perlu dimanfaatkan oleh ibubapa dan pelajar,” tegas beliau.

Mengenai program yang dianjurkan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI), beliau berkata, ia secara tidak langsung mendedahkan persekitaran universiti di kalangan pelajar sekolah menengah sekaligus mendorong mereka untuk menjadi seorang mahasiswa.

Lebih 200 pelajar dari beberapa sekolah menengah di sembilan parlimen negeri ini menyertai program yang berlangsung selama tiga hari itu.

‘Selangkah Ke Universiti’ merupakan program pelajar dibawa ke universiti dan menjalani proses penerapan dan pendedahan kampus yang bertujuan supaya mereka lebih mengenali kehidupan di university, di samping menggalakkan mahasiswa untuk terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan.

No comments:

Post a Comment