Saturday 8 October 2011

BELANJAWAN PRORAKYAT UNTUK MALAYSIA



SPEAKER Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyifatkan Belanjawan 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan antara belanjawan prorakyat terbaik untuk Malaysia setakat ini.

Beliau berkata ini menunjukkan semangat politik dan kepimpinan Perdana Menteri dalam membela kebajikan rakyat.

"Ini jelas dalam belanjawan selaras slogan 1Malaysia. Yang nyata tiada sesiapa yang ketinggalan," katanya kepada Bernama semasa diminta mengulas mengenai Belanjawan 2012 yang dibentangkan oleh Najib di Dewan Rakyat hari ini.

Salleh berkata rakyat Sabah dan Sarawak mempunyai sebab yang baik untuk menyokong belanjawan ini dan gembira memandangkan kedua-dua negeri akan terus menerima peruntukan yang lebih besar tahun depan.

Dalam pembentangan belanjawan itu, Najib, antara lain mengumumkan peruntukan RM50 juta untuk meluaskan program pengumpulan air hujan di Sabah, RM978 juta untuk meningkatkan pembangunan lima koridor wilayah termasuk skim agropolitan di Besut, Terengganu; projek kelompok industri minyak sawit di Lahad Datu, Sabah; dan projek bekalan air Samalaju di Sarawak.

Bagi membendung inflasi dan meningkatkan kebajikan rakyat, Perdana Menteri juga mengumumkan peruntukan RM1.1 bilion untuk pembangunan pertanian di Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri Datuk Jahid Jahim menyambut baik peruntukan untuk belia dan sukan selain sukan berprestasi tinggi dalam negara.

Bagaimanapun beliau berharap melihat peruntukan tambahan untuk menampung peningkatan yang dijangkakan dalam pembelanjaan bagi membiayai program 5M, yang objektifnya menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin di Sabah. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment