Sunday 23 October 2011

'BELI' AHLI, GERAKAN CEMAR MARUAH BN?



ANGKATAN Pemuda Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP) menggesa Gerakan memberhentikan perlakuannya di Sabah yang ditertawakan oleh semua pihak termasuk parti pembangkang, sebaliknya patut membantu Barisan Nasional dengan perkhidmatan yang berkualiti dan bukannya ‘aktiviti hiasan pintu di rumah’.

Setiausaha Agung Pemuda LDP, Lim Ming Guan merujuk kepada insiden yang mengatakan parti Gerakan ‘mengupah’ penduduk Tawau sebanyak RM300 seorang untuk menghadiri majlis pelancaran pejabat baru parti itu di Tawau.

Insiden ini didedahkan oleh Ahli parlimen Kalabakan, Ghapur Salleh semalam di sidang parlimen. Beliau juga menasihati Perdana Menteri agar tidak melantik calon dari parti Gerakan untuk bertanding di Sabah pada pilihan raya yang akan datang memandangkan parti tersebut telah pun ditolak oleh pengundi pada pilihan raya lepas di Semenanjung.

Menurut Lim, insiden ‘mengupah ahli’ ini telah menjadi bahan gurauan di Tawau oleh semua pihak, kononnya BN tidak ada penyokong di Tawau dan ‘terpaksa’ membeli sokongan.

"Pada hakikatnya, parti komponen BN termasuk LDP, UMNO dan lain-lain, memenangi hati penduduk dengan memberi perkhidmatan yang berkualiti serta berkesan, bukannya dengan upahan sementara."

Lim menggesa pengerusi Gerakan Koh Tsu Koon supaya menjalankan siasatan sebelum menuduh Ghapur Salleh yang berani mendedahkan kebenaran.

"Kalau tidak ada angin manakan pokok bergoyang, Ghapur Salleh tidak patut dikutuk di atas sebab mendedahkan kebenaran. Kita juga menyokong seruan beliau yang tidak melantik wakil Gerakan sebagai calon di negeri Sabah."

Lim berpendapat bahawa Gerakan tidak patut melarikan diri dari kubu pangkalan mereka di Semenanjung selepas tewas pada pilihan raya umum ke 12 dengan berenang ke Sabah hanya untuk merompak kerusi sahabat komponen.

"ADUN Gerakan di Sabah sekarang bukannya menang di bawah tiket parti tersebut, ADUN mereka bagai 'anak angkat' yang belum diuji melalui pilihan raya."

"Pengagehan kerusi DUN dan parlimen adalah diputuskan di pucuk pimpinan BN selepas rundingan, begitulah prinsip perkongsian kuasa BN diamalkan. Tetapi kita tidak nampak rundingan mengenai ketiga-tiga kerusi dipegang oleh Gerakan ini diadakan."

Lim menasihati Koh Tsu Koon supaya ‘berdiri semula di tempat dia jatuh’, hilang kerusi tetapi jangan hilang muka dan memulihkan maruah sendiri di mana tempat ia dirampas.

No comments:

Post a Comment