Tuesday 4 October 2011

BERCAKAP BESTARI, LAMBANG JATI DIRI BANGSA


TAHNIAH…Kamarlin ketika menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang dalam pertandingan yang diadakan sempena majlis tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

AHLI DEWAN Undangan Negeri Lumadan, Kamarlin Haji Ombi, mengingatkan setiap pemimpin agar bercakap secara bestari bagi melambangkan jati diri bangsa dan tidak memberi pandangan, membuat keputusan dan perancangan atau tindakan yang boleh menjurus ke arah perpecahan.

Sebaliknya, menurut beliau, setiap yang keluar dari mulut pemimpin mestilah ke arah perpaduan dan penyatuan untuk mengukuhkan lagi jati diri negara bangsa.

Katanya, pemimpin tersebut merangkumi semua peringkat sama ada agama, politik, masyarakat, kaum mahupun sukan.

"Semua rakyat Malaysia berbilang kaum dan keturunan mestilah berfikiran matang dan perlu ingat bahawa perbalahan yang membawa persengketaan sesama sendiri akan hanya membawa lebih keburukan dan kerugian bukan sahaja kepada kita sendiri, malahan yang lebih buruk kesannya akan turut melibatkan negara yang kita cintai,” katanya ketika berucap merasmikan Malam Mesra Bersama Pemimpin anjuran Persatuan Belia Kampung Selinsing (SETAMA) di Beaufort, malam semalam.

Kamarlin yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Sipitang berkata, peranan memupuk perpaduan perlu ditekankan kepada generasi muda, terutama dari peringkat sekolah dan peranan ibu bapa mengingatkan anak masing-masing tentang kepentingan permuafakatan dan kerjasama.

"Negara kita sangat memerlukan perpaduan kaum, kerana ia merupakan senjata utama dalam menghadapi musuh negara,” katanya.

Sehubungan itu, Kamarlin turut memuji usaha yang dilakukan oleh (SETAMA) kerana menganjurkan majlis tersebut yang menurut beliau merupakan wadah terbaik bagi membina serta mengukuhkan ikatan silatulrahim di kalangan pemimpin dan masyarakat setempat.

Mengulas mengenai projek pembangunan di kawasan Lumadan yang beliau wakili, Kamalin berkata, pelbagai projek pembangunan yang telah dan akan dilaksanakan oleh kerajaan telah dan akan dinikmati oleh rakyat di kawasan itu.

Menurut beliau, semua ini membuktikan kerajaan Barisan Nasional bersungguh-sungguh membela kepentingan rakyat seiring dengan Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Kamarlin turut merayu agar rakyat di kawasan tersebut terus mengekalkan momentum perpaduan yang sedia ada bagi mempastikan segala projek pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat.

No comments:

Post a Comment