Tuesday 11 October 2011

BILA MASALAH BANJIR KAMPUNG BUKAU SELESAI?



Saudara Pengarang,

SEBAGAI anak jati Kampung Bukau saya merasa terpanggil memberi respon terhadap laporan media newsabahtimes ( Banjir kilat di Bukau Ganggu Perjalanan).

Saya ingin meluahkan rasa kesal terhadap banjir yang terlalu kerap melanda jalan utama Beaufort-Sipitang di sebelah persimpangan Kampung Bukau dan sekitarnya yang menyebabkan jalan terputus; di samping memberikan kesan terhadap kerosakan harta benda dan kehilangan sumber pendapatan di kalangan penduduk kampung.

Banjir yang sudah terlalu kerap, tidak berkala malah terlalu mudah berlaku hanya disebabkan hujan lebat sehingga terdapat persepsi di kalangan pengguna jalan raya Beaufort-Sipitang bahawa Jalan Kampung Bukau sebagai laluan maut kerana banjir akan menengelamkan jalan.

Namun yang paling teruk terjejas ialah penduduk kampung Bukau di samping kampung sekitarnya iaitu Tambalang Along, Tunah Valley, Pulai Manang dan Lumadan akibat kerosakan harta benda dan tanaman di samping hilang sumber mata pencarian.

Manakala sekolah-sekolah dan klinik terpaksa ditutup kerana menyebabkan kerosakan harta benda dan kelengkapan institusi berkenaan. Malah rumah penduduk terpaksa bergenang dengan air banjir hampir sepanjang tahun disebabkan kekerapan banjir dan kesan air banjir tersebut yang tidak dapat dialirkan keluar.

Keadaan ini amat dikesali memandangkan ia seolah-olah tiada berpenghujung. Walaupun terdapat peruntukan yang besar seperti Tebatan Banjir di Sungai Padas yang bernilai RM2 juta yang telah siap sepenuhnya pertengahan tahun 2010; di samping peruntukan RM6.8 juta tahun pada 2009 bagi melebarkan sungai Ulu Klias dan projek pencegahan banjir Skim Saliran Limbawang, namun tiada secara khusus disebutkan projek untuk Sungai Bukau dan Sungai Api-Api yang menjadi laluan utama air di kawasan ini.

Keadaan parit dan sistem saliran yang tidak diselenggara dengan baik juga menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan baik dan sering dengan mudah menyebabkannya melimpah, sekiranya hujan yang berterusan di samping air yang bertakung yang menghasilkan bau busuk sekiranya tiada hujan.

Keadaan ini amat memalukan. Apatahlagi laluan Kampung Bukau merupakan jalan utama ke pekan Beaufort dan bandar-bandar lain yang menjadi laluan oleh pelancong-pelancong dari negara Brunei Darusssalam.

Pelbagai janji telah ditabur khususnya oleh Yang Berhormat yang meminta penduduk bersabar untuk projek baru dapat dilaksanakakan. Masalahnya setiap kali berlaku hujan dan banjir setiap itulah penduduk menanggung kesengsaraan dan kepayahan sedangkan projek yang dinantikan seolah-olah menanti bulan jatuh ke riba.

Oleh itu saya berharap perlu ada jawapan dan penyelesaian konkrit. Nyatakan peruntukan dan tarikh secepat mungkin perlaksanaannya supaya kehidupan penduduk kampung tidak terus dihantui dengan masalah banjir yang tidak berpenghujung. Bantuan kepada penduduk kampung yang terjejas juga perlu diberikan supaya dapat meringankan bebanan mereka.

Salam Hormat,

LAHIRUL LATIGU

Ketua Pemuda PAS Negeri Sabah

Yang Dipertua PAS Kawasan Beufort

No comments:

Post a Comment