Wednesday 19 October 2011

BUKIT TENGKORAK PERLU DITAMBAH NILAI



“TAPAK Warisan Arkeologi Bukit Tengkorak di Semporna perlu ditambah nilai bagi menjadikannya produk pelancongan yang menarik”, kata Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Beliau berkata, usaha itu perlu dilakukan bagi menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara berkunjung ke tapak arkeologi itu serta bangunan muzium arkeologinya yang bernilai RM4.2 juta.

"Produk ini memang banyak potensi. Jadi sesiapa yang berkunjung ke Semporna, mereka boleh datang ke sini sementara menunggu masa untuk ke pulau-pulau peranginan di sini," katanya kepada pemberita selepas mendaki Bukit Tengkorak baru-baru ini.

Sempena lawatan itu, Ng turut menyaksikan sendiri tapak arkeologi di puncak bukit itu pada ketinggian 152 meter (500 kaki).

Beliau turut mencadangkan supaya sumber manusia di tapak pelancongan itu dilengkapi pakar pelancongan arkeologi bagi memudahkan pengunjung mengenali tapak itu.

Bukit Tengkorak dikenalpasti sebagai satu daripada tapak pembuatan tembikar terbesar di Asia Tenggara pada zaman Neolitik iaitu kira-kira 3,000 tahun dahulu.

Sejak tahun 1994, penyelidik dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Jabatan Muzium Sabah telah melakukan penyelidikan saintifik dan sistematik di Bukit Tengkorak.

Hasil penyelidikan itu antara lain menemui ratusan ribu serpihan tembikar tanah prasejarah yang dihiasi pelbagai corak.

Terdahulu, Ng melawat bangunan Muzium Tapak Warisan Arkeologi Bukit Tengkorak yang dibina di kaki bukit itu. Muzium itu dijangka dibuka kepada pengunjung tahun hadapan. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment