Tuesday 18 October 2011

BUKU KOD TADBIR URUS DIPERKENAL



KEMENTERIAN Kewangan Sabah memperkenalkan sebuah buku Kod Tadbir Korporat untuk Badan-Badan Berkanun Negeri bagi mempertingkatkan kecekapan tadbir urus mereka.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, yang juga Menteri Kewangan Negeri, berkata saiz sesetengah badan berkanun semakin berkembang berikutan penubuhan anak syarikat dan jaringan usaha sama bagi melaksanakan program serta projek tertentu.

"Perkembangan ini memberikan cabaran hebat kepada lembaga pengarah dan pihak pengurusan, khususnya berhubung kawalan dalaman yang menjadi semakin kompleks dan dinamik," katanya ketika melancarkan buku itu hari ini.

Beliau berkata pengenalan buku itu diharap dapat memperkasakan tadbir urus badan berkanun negeri agar lebih maju dan berdaya saing serta berupaya menjayakan pelbagai dasar dan program pembangunan negeri, selain mencapai kesejahteraan rakyat.

Pada majlis itu, Musa turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Pengurusan dan Kewangan Indeks Akauntabiliti Jabatan Audit Negara kepada jabatan dan agensi kerajaan yang mencapai penarafan tinggi, iaitu empat bintang.

Jabatan dan agensi berkenaan ialah Jabatan Perhutanan Negeri, Jabatan Bendahari Negeri dan Majlis Daerah Papar.

Turut menerima anugerah ialah Perbadanan Pinjaman Sabah, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dan Perbadanan Baitulmal. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment