Saturday 1 October 2011

DANA BUKAN HALANGAN PEMBANGUNAN SUKAN



TAHNIAH…Lajim diiringi oleh Azman ketika menyampaikan hadiah kepada salah sebuah pasukan yang berjaya tempat dalam kejohanan tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

PEMBANGUNAN sukan dalam apa juga bentuk sukan di peringkat daerah perlu diteruskan bagi mencungkil bakat-bakat muda dalam pelbagai aktiviti sukan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, usaha itu boleh dilakukan dengan menganjurkan lebih banyak pertandingan sukan termasuklah klinik sukan; di samping menubuhkan kelab dan liga di peringkat daerah.

Beliau berkata, usaha itu dapat melahirkan pemain-pemain pelapis buat mengisi skuad daerah, bahagian negeri pada masa hadapan.

Katanya, ketika ini usaha tersebut telah banyak digerakkan oleh pelbagai pihak termasuk agensi Kerajaan Pusat terutama di peringkat sekolah.

"Bagaimanapun, penglibatan lebih banyak persatuan sukan termasuk badan NGO dalam setiap program atau penganjuran kejohanan sukan juga turut menyemarakkan aktiviti sukan secara berterusan,” katanya ketika berucap menutup kejohanan Sepak Takraw Piala Ahli Parlimen Beaufort, Zon Pedalaman Bawah, Anjuran Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Beaufort dan Astaka cawangan Beaufort di dewan masyarakat Sri Partayu Kota Klias, baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Beaufort, Mohd. Ishak Haji Ibrahim dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Beaufort Mohd.Azman Datuk Seri Panglima Lajim.

Menurut Lajim, masalah kewangan untuk menganjurkan pertandingan sukan seperti sepaktakraw, bola sepak dan sebagainya di pelbagai peringkat bukan persoalan utama.

Pihaknya sedia membantu mana-mana pihak yang berminat membangunkan program sukan di kawasan Parlimen Beaufort kerana yakin aktiviti ini juga mampu membentuk sikap jatidiri dan semangat juang golongan remaja dari terjebak dengan pelbagai elemen yang kurang sihat.

"Semangat ini boleh dimanfaatkan untuk melahirkan bakat-bakat muda yang berpotensi. Mereka perlu digilap dan dilatih, jangan jadikan soal kewangan membataskan program sukan di daerah ini," katanya.

Pada kejohanan tersebut, Kota Klias A muncul sebagai johan dengan membawa pulang wang tunai RM1,000, piala iringan dan Piala Pusingan; sementara Naib Johan di menangi oleh Berangkok B dengan hadiah piala dan juga wang tunai RM700 dan tempat ketiga dimenangi oleh Yapana dan Kerukan menerima piala dan wang Tunai RM 500.

No comments:

Post a Comment