Friday 7 October 2011

DAPATKAN BEKALAN ELEKTRIK DARI PENTAGON




TEMUBUAL....Au sedang ditemubual oleh Wartawan Kanan Sabahkini.Net.

Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI

KEGIATAN penyambungan haram elektrik di beberapa kawasan perumahan perkampungan setinggan khususnya di daerah Sandakan, antaranya kawasan Elopura dan kawasan Batu Sapi, semakin menjadi-jadi dan pihak SESB perlu tegas mengambil tindakan dan tidak ada sikap tolak ansur terhadap penduduk yang terbabit.

Senario ini bukan saja merugikan berjuta-juta ringgit yang ditanggung oleh pihak SESB pada setiap tahun kerana memberikan perkhidmatan secara percuma kepada penduduk-penduduk berkenaan; selain itu juga boleh mengundang kecelakaan kepada kampung-kampung berkenaan sekiranya berlaku litar pintas dan boleh menyebabkan kebakaran.

Ada beberapa faktor menyebabkan kenapa mereka melakukan penyambungan elektrik secara haram walaupun mereka tahu perbuatan mereka itu telah menyalahi undang-undang bekalan elektrik; antaranya status tempat tinggal mereka di kawasan setinggan dan bukannya di tanah perkampungan yang diwartakan atau tanah bergeran.

Mengikut prosedur tertentu, barang siapa yang menduduki tanah dan membina rumah di atas tanah kepunyaan orang lain, tanpa restu daripada pemilik asalnya, untuk mendapatkan sebarang kemudahan seperti bekalan air mahupun bekalan elektrik memang sukar; kerana jabatan-jabatan yang berkenaan enggan menerima sebarang permohonan yang diajukan oleh penduduk-penduduk yang tinggal di perkampung setinggan.

TURUN PADANG....ADUN Elopura Au Kam Wah turun padang untuk meninjau sendiri kawasan yang terlibat dengan penyambungan haram elektrik.

Kecualilah jika mereka membina rumah di atas tanah kepunyaan orang lain dengan izin oleh pemiliknya, agak mudah sedikit bagi mendapatkan bekalan air dan elektrik atas dasar sokongan bertulis, dengan menyatakan nombor geran dan sekaligus salinan geran tanah tersebut yang disertakan bersama borang permohonan yang ditandatangani oleh pemilik tanah tersebut.

Wartawan Kanan Sabahkini.Net Wilayah Sandakan telah mengadakan temubual eksklusif dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Au Kam Wah di pejabatnya kelmarin bagi mengulas kenyataan akhbar Pengurus Zon Timur (SESB), Charles K Dalansing berhubung dengan aktiviti penyambungan haram bekalan elektrik yang membabitkan 400 buah rumah, di Sembilan buah kampung setinggan, termasuk DUN Elopura.

PANCING.....Charles menunjukan sebatang kayu yang digunakan untuk memancing dawai kabel untuk mendapatkan arus elektrik.

Au memberitahu, penyambungan haram bekalan elektrik secara haram bukan satu perkara remeh dan haruslah dipandang serius oleh semua pihak kerana menyalahi undang-undang dan jika disabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara dan denda; sambil mengalu-alukan tindakan SESB yang terus bertekad untuk membanteras gejala seumpama ini tanpa noktahnya.

“Kita faham kebanyakan mereka yang tinggal di kawasan perkampungan setinggan terdiri daripada golongan miskin tegar. Mereka bukan tidak mampu memasang lampu elektrik di rumah mereka, tetapi disebabkan status kedudukan rumah-rumah mereka di perkampungan setinggan, maka mereka gagal memohon segala kemudahan asas termasuk elektrik.

Kata Au, penduduk Kampung Sentosa Jaya, Bukit Merah Jalan Istana, Kawasan Perindustrian SEDCO Kampung Cahaya Baru dan Kampung Mangkalinau merupakan tanah milik persendirian dan mereka telah membina rumah sesuka hati tanpa izin pemilik tanah menyebabkan mereka sukar mendapatkan bekalan elektrik.

“Saya berharap agar penduduk yang terlanjur melakukan penyambungan haram bekalan elektrik menghentikan kegiatan mereka sebelum SESB mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka,” seru Au.

Tegas Au, mengikut undang-undang yang telah ditetapkan, SESB boleh mendakwa sesiapa yang melakukan aktiviti penyambungan haram bekalan elektrik di mahkamah dan jika sabit kesalahan, mereka yang terbabit boleh didenda tidak melebihi RM100,000 ribu atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali tindakan mengikut Akta Bekalan Elektrik 1990 Seksyen (37 (3).

“Jadi dengan hukuman yang seberat ini, saya meminta pelaku sambungan haram bekalan elektrik supaya menghentikan serta merta kegiatan mereka kerana SESB akan meminta bantuan Polis mengetatkan operasi mereka di kawasan terbabit dari semasa ke semasa,” pesan Au.

Sehubungan itu, Au mencadangkan agar penduduk terbabit memohon bekalan elektrik daripada IPP iaitu Pentagon sebagai jalan terbaik mendapatkan bekalan elektrik seperti penduduk Kampung Forest.

“Saya menggalakkan mereka berbuat demikian bagi mendapatkan kemudahan yang lebih selesa tanpa sebarang gangguan dan tiada tekanan daripada mana-mana pihak. Tetapi jangan lupa menjelaskan bil setiap bulan,” tegas Au yang menegaskan IPP berkenaan mampu membekalkan elektrik ke kawasan setinggan di Sandakan.

No comments:

Post a Comment