Sunday 16 October 2011

DARI ROKOK KEPADA DADAH?



Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI

MULA-mula menghisap rokok, bila sudah gian atau kecanduan, berjinak-jinak pula dengan dadah seperti Heroin, Morfin, Ganja dan Syabu. Bila sudah sampai ke peringkat ini timbullah pelbagai masalah terhadap diri sendiri, keluarga dan Negara.

Seseorang yang sudah ketagihan dadah bukan sahaja merosakan kesihatan diri sendiri, malah boleh membinasakan orang lain kerana sanggup melakukan apa sahaja demi untuk mendapatkan dadah, hatta merompak atau meragut.

Demikian dinyatakan sendiri oleh Presiden SAGA, Dr Zaitun Yahya ketika memberikan ceramahnya yang berjudul ‘Dadah Membawa Padah’ sempena program membasmi dadah anjuran bersama Biro Hal Ehwal Wanita PEMADAM Daerah Sandakan dan Puteri UMNO Sandakan di Dewan Masyarakat Sandakan, petang kelmarin.

Rentetan daripada penagihan dadah, kata Dr Zaitun, khususnya melalui perkongsian suntikan jarum, maka disitulah merebaknya virus HIV dan AIDS di kalangan remaja yang terjebak dalam aktiviti seumpama ini.

“Sebenarnya virus HIV dan AIDS memang boleh dielakkan sekiranya remaja tahu bahayanya mengambil dadah dan menjauhi dari awal-awal lagi walaupun dipengaruhi oleh rakan-rakan di persekitaran,” kata Dr Zaitun.

Inilah sikap manusia, tambah Dr Zaitun kerana mereka ingin mencuba apakah nikmatinya kalau mengambil dadah tanpa memikirkan risikonya di kemudian hari.

Selain dadah, punca membawa jangkitan HIV dan AIDS ialah melalui hubungan seks rambang dengan pasangan yang telah dijangkiti virus HIV dan AIDS sehingga tidak lagi terkawal.

“Saya mintalah para belia yang belum terjebak dalam aktiviti yang boleh memusnahkan masa depan, jauhilah gejala ini dan jangan mudah terpengaruh oleh kawan-kawan yang memang sudah rosak akhlak kerana bukan sahaja diri, malah mada hadapan juga akan hancur,” kata Dr Zaitun lagi.

Terdahulu dalam ucapan alu-aluan Pengerusi Biro Hal Ehwal Wanita PEMADAM Daerah Sandakan, Puan Noraini Sulong, menjelaskan program yang diadakan ini adalah merupakan acara program tahunan yang bertujuan untuk menyedarkan masyarakat sekeliling tentang bahaya dadah.

Selain itu, Noraini juga memberi nasihat kepada ibubapa supaya jangan terlalu memanjakan anak mereka secara berlebihan sehingga gagal memberikan pendidikan agama yang secukupnya, maka anak-anak mereka begitu mudah terjerumus dalam kancah maksiat, termasuk pengambilan dadah.

“Kita sedih kerana di negara ini, ramai remaja mati dalam usia muda ekoran daripada pengambilan dadah dan dijangki wabak virus HIV dan AIDS. Mimpi ngeri ini boleh dielakan jika ibubapa sentiasa melihat dan mengawasi gerak geri dan tingkah laku anak-anak mereka,” kata Noraini yang memerlukan kerjasama ibu bapa untuk melakukan pemantauan bestari terhadap anak-anak mereka.

No comments:

Post a Comment