Monday 24 October 2011

FESTIVAL BAGANDANG KE PERINGKAT GLOBAL?



CUBA BAKAT....Azizah (tiga kanan) mencuba bakat memukul gong pada program Bengkel Bagandang sempena Pra Pelancaran Festival Bagandang di Beaufort kelmarin.

Oleh : ABU BAKAR ESAH

FESTIVAL Bagandang merupakan festival yang mampu memartabatkan seni dan budaya ke peringkat yang global.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Azizah Mohd Dun berkata muzik Bagandang kini sudah mula dikenali ramai sehingga menembusi negara luar.

“Kita percaya muzik Bagandang ini sudah mula dikenali, bukan sahaja di peringkat daerah Beaufort, negeri Sabah dan di negara ini, malah sudah diterima di peringkat antarabangsa apabila seorang anak muda dari daerah ini telah mencapai kemenangan di peringkat antarabangsa di Los Angeles pada tahun lalu dengan menggunakan alat kulintangan,” katanya.

Beliau berkata dalam usaha berterusan memartabatkan warisan seni Bagandang, festival kali yang ketiga pada tahun ini mengadakan beberapa program baru seperti Bengkel Bagandang.

“Tujuan kita mengadakan bengkel ini ialah bagi mengangkat lagi martabat muzik tradisi dan para pemuzik supaya mereka sampai ke tahap yang boleh diterima diperingkat antarabangsa.

“Dengan adanya Bengkel Bagandang ini, ia juga merupakan langkah awal kita untuk menarik minat anak-anak muda untuk mencintai keseniaan budaya tempatan,” katanya.

Melalui usaha berterusan katanya, beliau yakin dalam tempoh sedekad ini Festival Bagandang mampu mencapai tahap festival yang bertaraf antarabangsa.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan majlis Pra Pelancaran Festival Bagandang (FB) 2011 di Dewan Baru di sini, kelmarin.

Hadir sama Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Induk FB, Wong Foo Tin; Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) yang juga Pengerusi Pelaksana, Mohd Shaid Othman; Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran) Jufri Etok.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias merangkap Penaung Jawatankuasa Festival Bagandang berkata, festival itu telah diterima dan diraikan bersama oleh semua suku kaum, yang sekali gus menjadi wadah semangat perpaduan.

“Festival Bagandang ini bukan sahaja dirayakan oleh masyarakat berbilang kaum dan etnik di kawasan ini, malah memberi peluang kepada rakyat mengeratkan lagi semangat perpaduan, keharmonian, dan kerjasama selaras dengan konsep 1 Malaysia.

“Festival Bagandang ialah festival rakyat yang telah dimuatkan dalam Kalendar Pelancongan Sabah dan menjadi jenama baru Beaufort. Saya berpendapat sambutan dan sokongan rakyat telah menjadikannya begitu berjaya sekali. Festival ini telah membuka perhatian luar tentang betapa uniknya kebudayaan dan kesenian rakyat di kawasan ini. Tahniah dan terima kasih atas sambutan yang tidak putus-putus bagi sama-sama memartabatkan budaya kita,” katanya.

Azizah yang mengilhamkan festival yang bermula tahun 2009 itu berkata kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan keharmonian rakyat merupakan antara kekuatan dan keunikan negara ini.

SIDANG MEDIA…..Azizah (duduk tengah) membuat sidang media selepas merasmikan majlis Pra Pelancaran Festival Bagandang di Beaufort kelmarin.

Katanya, semua ini terhasil daripada sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh bagi membolehkan perancangan dan pelaksanaan pelbagai program untuk manfaat rakyat dapat dilaksanakan secara berterusan.

“Justeru itu rakyat perlu bersikap positif dan proaktif dalam mengukuhkan lagi semangat perpaduan agar matlamat pembangunan ini dapat dimanafaatkan sepenuhnya,” katanya.

Beliau juga mengingatkan agar jabatan dan agensi kerajaan berganding bahu memanfaatkan segala kelebihan dan potensi yang terdapat di Daerah Beaufort khususnya dalam industri pelancongan.

“Daerah Beaufort dan kaum yang terdapat di sini mempunyai potensi yang boleh dimajukan sama ada dari segi pelancongan, keindahan alam semulajadi dan keunikan adat dan budaya masing-masing. Justeru, inilah tugas jabatan dan agensi berkaitan bersama-sama dengan para pemimpin tempatan berganding bahu dalam merangka dan memajukan potensi di daerah ini, bukan sahaja sebagai tarikan pelancongan dan menjana sosio ekonomi rakyat; bahkan memastikan adat budaya dan warisan suku kaum kita tetap terpelihara sepanjang zaman,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Festival Bagandang yang akan diadakan selama dua hari itu dirasmikan pada 29 Oktober oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.

No comments:

Post a Comment