Saturday 29 October 2011

GRADUAN UNIRAZAK WAJAR DIBERI PELUANG



PERGERAKAN Pemuda Umno meminta Kementerian Pelajaran memberi peluang kepada 152 graduan pendidikan Unversiti Tun Abdul Razak (Unirazak) berkhidmat di kawasan luar bandar Sabah.

Exco Pemuda Umno Jamawi Jaafar berkata beliau telah ditemui beberapa graduan institusi itu yang mengadu nasib mereka kini seolah-olah terumbang-ambing.

Jamawi berkata kebanyakan mereka menerima ijazah pendidikan masing-masing pada tahun 2009, 2010 dan tahun ini tetapi sehingga kini belum menerima tawaran untuk berkhidmat sebagai pendidik.

"Dengan ilmu yang mereka ada khususnya dalam bidang pendidikan semasa belajar di unverisiti, kami merasa rugi jika ia tidak dapat dimanfaatkan dan dicurah kepada anak bangsa di negeri ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jamawi berkata hasil pertemuannya dengan Setiausaha Sulit Menteri Pelajaran dan Pegawai Khas Menteri (bahagian guru) baru baru ini di Putrajaya, beliau dimaklumkan Kementerian Pelajaran hanya mengambil dan menempatkan guru lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institut Pengajian Tinggi Awam.

Sehubungan itu, beliau yang juga ketua pergerakan Pemuda Umno bahagian Tenom mendesak agar graduan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) termasuk Unirazak diberi peluang untuk mengajar di sekolah-sekolah terutama di luar bandar bagi menampung kekurangan yang ada.

"Jika kelonggaran tidak dapat diberikan, pergerakan Pemuda Umno mahu pengurusan unversiti dan Kementerian Pengajian Tinggi menggugurkan kursus pendidikan di IPTS itu agar anak-anak muda dan pelajar tidak menjadi mangsa kepada keadaan ini," katanya.

Sementara itu, Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun dan Murut Sabah (Pekadin) mahu Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran mengkaji semua sistem pendidikan untuk IPTS terutama yang menawarkan kursus Ijazah Sarjana Muda Pendidikan.

Naib presiden Pekadin, Labidah Ewit berkata Kementerian Pengajian Tinggi tidak sepatutnya membenarkan IPTS menawarkan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan jika pemegang ijazah itu tidak diberi peluang oleh Kementerian Pelajaran untuk berkhidmat sebagai guru sekolah kerajaan.

"Sekiranya perkara ini benar seperti yang didakwa, maka ia perlu diperbetulkan segera," katanya. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment