Sunday 30 October 2011

GURU TADIKA KEMAS MILIKI DIPLOMA



SEMUA guru Tadika KEMAS di negara ini dijangka mendapat diploma dan bergred S27 menjelang tahun 2015.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata usaha ke arah itu sedang dilaksanakan termasuk melatih mereka dengan mengikuti kursus dalam cuti di institut perguruan di seluruh negara.

Beliau berkata setakat ini lebih 2,000 orang daripada lebih 9,000 guru tadika KEMAS di seluruh negara telah menamatkan pengajian mereka di peringkat diploma.

Katanya bagi Sabah, kumpulan pertama seramai 250 orang daripada 824 orang guru Tabika KEMAS sudah memperolehi diploma.

"Program ini kita akan teruskan sehingga mereka semua memperolehi diploma seperti yang dirancang selaras dengan wawasan kita untuk memperkasakan lagi pendidikan prasekolah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Anggota KEMAS Negeri Sabah di Dewan Saadah Wisma Muis, Kota Kinabalu, Sabah.

Terdahulu, dalam ucapannya, Shafie mahu semua pihak memainkan peranan untuk memperjelaskan kepada masyarakat tentang pentingnya pendidikan prasekolah, sekaligus memastikan transformasi pendidikan dapat dikecapi segenap rakyat terutama di luar bandar.

Katanya kementerian telah mencatat kejayaan dalam pelaksanaan KPI dan NKRA dengan jumlah pembukaan kelas sebanyak 500 buah pada tahun 2010, menjadikan sebanyak 8,816 tadika dan 313 taska yang beroperasi di seluruh negara yang melibatkan seramai 200,417 kanak-kanak berumur antara dua hingga enam tahun.

"Pada tahun ini pula, sasaran bilangan kelas tabika KEMAS sebanyak 9,816 buah telah berjaya dicapai iaitu sehingga Julai 2011 sebanyak 9,816 kelas telah dibuka dengan bilangan kanak-kanak seramai 215,834 orang dan dikendalikan oleh seramai 9,824 guru," katanya. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment