Thursday 6 October 2011

JABATAN HUTAN KHIANATI ANAK NEGERI SABAH?



Oleh : MUTALIB M.D

JABATAN Perhutanan Sabah disaran agar tidak mengkhianti Anak Negeri Sabah yang terperangkap di dalam Hutan Simpan yang terletak di bawah jurisdiksi mereka kerana dari segi undang-undang mereka tidak mempunyai locus-standi untuk mendakwa ‘Tanah Adat’ yang diwartakan sebagai Hutan Simpan dan diletak hak sebagai milik kerajaan.

“Dari segi pentadbiran memang benar mereka dipertanggung jawabkan menjaga hutan simpan, tetapi tanah adat bukanlah hutan simpan, sekalipun diwartakan sebagai Hutan Simpan. Mereka sewajarnya merujuk kepada keputusan mahkamah dalam kes Imahit dan jangan lagi menjadikan rakyat sebagai sasaran KPI mereka,” ujar Ahli Parlimen Malaysia (Tenom), Datuk Raime Unggi dalam pertemuan khas dengan Sabahkini.net di Ruang Legar Parlimen.

Menurut Raime, beliau terkilan kerana Jabatan Perhutanan Sabah telah mengeluarkan notis kepada penduduk kampung yang dituduh menceroboh Hutan Simpan melalui surat JPHTN/TNM/ 700-2/1/2/Klt.2 (38) bertarikh 3 Oktober 2011.

Tegas Raime, melalui notis tersebut, Jabatan Perhutanan memberi amaran keras bahawa sesiapa yang memasuki Hutan Simpan Sipitang dan telah bercucuk tanam serta mendirikan bangunan/sulap, diberi notis 14 hari berkuatkuasa dari tarikh surat tersebut dikeluarkan untuk memusnahkan segala tanaman dan bangunan/sulap yang telah didirikan dan mengarahkan penduduk keluar dari kawasan Hutan Simpan Sipitang.

Melalui notis berkenaan juga, Jabatan Perhutanan mendakwa bahawa perbuatan memasuki Hutan Simpan Sipitang dan bercucuk tanam serta mendirikan bangunan (sulap) adalah terlibat dalam kesalahan di bawah Seksyen 20 (1) (b) (i) (ii) dan 20 (1) (c) (i) Enakmen Hutan 1968 dan boleh dikenakan denda tidak melebihi Limpa Puluh Ribu Ringgit (RM50,000) atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-dua sekali.

HALAU....Notis halau yang dikeluarkan Jabatan Hutan tidak mengikut peraturan.

Kata Raime lagi, Jabatan Perhutanan memberi ingatan bahawa sesiapa yang didapati gagal mematuhi arahan notis ini selepas tempoh notis 14 hari berakhir, laporan polis akan dibuat dan tindakan diambil bersesuaian dengan Enakmen Hutan 1968.

“Sewajarnya sebelum Pegawai Perhutanan Daerah Tenom, Clarice V.Alliun mengeluarkan notis tersebut, mereka harus memanggil Wakil Rakyat dan Pegawai Daerah untuk taklimat atau mesyuarat kerana yang akan dihalau keluar dari hutan simpan itu ialah pengundi dan pembayar cukai, bukan makhluk perosak,” kata Raime yang mempersoalkan cara tindakan tidak bermoral Jabatan Perhutanan Sabah mengeluarkan notis ketika beliau terpaksa menghadiri Sidang Parlimen, sehingga rakyat hidup di dalam ketakutan.

Raime menarik perhatian, hanya Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah yang diberi kuasa menurut Enakmen Hutan 1968 dan sepanjang pengetahuan beliau tidak ada sebarang perwakilan kuasa diberikan kepada Pegawai Perhutanan Daerah untuk melaksanakan perintah evakuasi.

“Jabatan Perhutanan tidak wajar mengambil tindakan di luar enakmen dan mentafsir undang-undang mengikut fahaman mereka sendiri kerana Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan bahawa seseorang warga negara seharusnya dianggap tidak bersalah, melainkan dibuktikan bersalah di mahkamah,” kata Raime yang menyifatkan notis yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan Daerah tidak sah kerana bercanggah dengan ‘delagatus non potest delagare’.

Kata Raime, kini tiba masanya agar Jabatan Perhutanan Sabah memahami makna Tanah Adat kerana bukan terletak di bawah sebarang enakmen atau undang-undang bertulis kerana lebih menjurus kepada undang-undang adat atau sejarah.

“Jika penduduk yang dituduh sebagai penceroboh, dakwa mereka di mahkamah. Bukannya tangkap mereka, bakar rumah mereka, musnahkan tanaman mereka atau halau mereka seperti haiwan. Bertimbang rasalah sedikit,” kata Raime yang kesal kerana pegawai yang diarah melakukan pengusiran tidak bermoral dan bersikap barbarian.

Namun kata Raime, setelah mahkamah berpuas hati bahawa penduduk di Tanah Adat ini melakukan pencerobohan di Hutan Simpan dan setelah perintah evakuasi dikeluarkan mahkamah, barulah Jabatan Perhutanan bertindak.

Jika tidak kata Raime, mereka telah menyalahgunakan kuasa dan meremehkan undang-undang serta menderhaka kepada DYMM Yang di Pertuan Agong kerana Anak Negeri Sabah mempunyai hak-hak istimewa dan dilindungi di bawah Artikel 153, Perlembagaan Persekutuan.

“Saya berharap agar Jabatan Perhutanan Sabah tidak lagi melakukan sabotaj terhadap Kerajaan BN seperti di masa lalu. Kami terpaksa berhadapan dengan pengundi setiap kali pilihanraya umum. Rakyat yang sudah sakit hati kerana diusir, sudah pasti akan membenci kerajaan BN. Dalam hal ini pembangkang akan mendapat hadiah istimewa. Saya tidak fikir Jabatan Perhutanan agen pembangkang di Sabah?,” kata Raime yang meminta campurtangan Ketua Menteri Sabah bagi menyelesaikan isu yang menjadi punca utama Anak Negeri menyokong pembangkang.

No comments:

Post a Comment