Sunday 16 October 2011

JALAN KEMABONG IKUT PELAN JKR



Oleh : HENRY BATING

PROJEK menaik taraf jalan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang didakwa dipindahkan dari tiga buah kampung di sini ke ke Kem Sejuk laluan Kemabong–Sipitang, sebenarnya adalah Projek Naik Taraf Jalan Kemabong–Marais.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Empat Buah Kampung, Menuel Siah memberitahu pihaknya sangat maklum bahawa kawasan berkenaan memiliki ratusan ekar tanah yang telah dan akan dimajukan pemilik dari empat buah kampung melibatkan Kg. Sugiang Baru, Kg. Sugiang Ulu, Kg. Marais dan Kg. Kelibatang Baru dan bukannya tidak berpenghuni seperti yang didakwa.

“Jangan menganggap tempat itu tidak berpenghuni, kami memerlukan jalan yang baik untuk tinggal di kawasan berkenaan kerana sebelum ini kami memerlukan masa berjam-jam membawa hasil pertanian ke jalan yang berdekatan,” ujar Menuel.

Menuel menambah, justeru pihaknya amat berterima kasih kerana penantian penduduk selama ini berakhir dan kini dapat menarik nafas lega atas apa yang mereka rasakan mempunyai masa hadapan yang baik untuk memajukan tanah, memasarkan hasil tanaman dan tinggal menetap di kawasan itu.

Menuel menyatakan demikian sebagai reaksinya kepada kenyataan Pengerusi JKKK Kg Kalamatoi, Andawai Ansumor tersiar di Utusan Borneo (14/10) yang meminta KKLW menimbang semula pelaksanaan naik taraf jalan di perkampungan mereka yang didakwa dipindahkan ke Kem Sejuk laluan Kemabong–Sipitang.

Andawai mengeluarkan kenyataan itu bagi pihak tiga buah perkampungan iaitu Kg Sugiang Ulu, Kg Lintubong-Kalamatoi dan Kg Ulu Baru Jumpa.

Dalam kenyataan itu, Andawai juga meminta KKLW turut melibatkan wakil rakyat kawasan mereka dalam melaksanakan pembangunan kerana mereka lebih tahu tentang lokasi yang amat memerlukan kemudahan.

Menurut Menuel lagi, pihaknya maklum bahawa Jabatan Kerja Raya (JKR) telah merancang pelan tindakan untuk menaik taraf jalan berkenaan sejak sekian lama dan telah memperhalusi perancangan dengan mengambil kira pelbagai perkara.

“JKR tahu apa yang mereka lakukan, mereka tidak meletakkan projek secara rambang sahaja, itu jalan di bawah penyelenggaraan mereka dan mereka ada kuasa untuk itu,” kata Menuel.

Sambil menyatakan rasa kesal dan kecewa, ujar Menuel, seharusnya Andawai memahami dan memperhalusi projek berkenaan sebelum mendedahkan kepada media massa.

“Andawai seharusnya datang melihat sendiri projek berkenaan dan bukannya memutarbelitkan fakta yang mengelirukan. Projek naik taraf jalan itu tidak ada kaitan dengan janji wakil Rakyat dan Ahli Parlimen seperti apa yang dimaksudkannya. Sekalipun kuasa wakil rakyat itu ada tapi tidak semestinya setiap perancangan kerajaan itu diubah mengikut kehendak pihak yang menentang,” kata Menuel.

Kita menghormati setiap cadangan mana-mana pihak namun kita harus menghargai setiap apa yang dirancang oleh pihak kerajaan untuk rakyatnya.

Menuel mengajak penduduk di kampung-kampung yang terlibat agar tidak merasa bimbang dengan apa yang telah dirancang oleh kerajaan kerana apa yang dilaksanakan semuanya untuk kepentingan rakyat.

“Kita harus bersabar dalam setiap keputusan kerajaan untuk memajukan setiap kawasan sambil menambah jika projek berkenaan dipindahkan, maka ramai penduduk terbabit akan kecewa,” katanya.

No comments:

Post a Comment