Tuesday 4 October 2011

JANGAN TAFSIR 1MALAYSIA ALA AGENDA PERIBADI



SPEAKER Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata adalah tidak wajar untuk memanipulasi keseluruhan konsep 1Malaysia dalam usaha memenuhi agenda, kepentingan dan kehendak peribadi.

Beliau berkata, konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, diperkenalkan dengan hasrat murni untuk menyatupadukan rakyat daripada setiap kaum dan agama di negara ini.

"Usah membuat tafsiran 1Malaysia untuk disesuaikan dengan kepentingan dan kehendak sendiri. 1Malaysia menumpukan kepada rakyat dan ia sejajar dengan prinsip demokrasi kerajaan oleh rakyat dan untuk rakyat.

"Kita mungkin mempunyai perbezaan tetapi menerusi kesepakatan, kita mesti menyumbang ke arah pembinaan negara kita," katanya ketika berucap merasmikan seminar 1Malaysia peringkat daerah di sini Selasa.

Salleh berkata konsep 1Malaysia akan membawa manfaat kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan sama ada mereka tinggal di kawasan bandar atau luar bandar.

Beliau berkata perpaduan sedia ada dalam kalangan masyarakat perlu diperkukuhkan selaras dengan konsep 1Malaysia yang antara lain mengutamakan kepentingan rakyat. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment