Sunday 9 October 2011

KAJI KAEDAH PELAKSANAAN PROJEK LUAR BANDAR



Oleh : MEDIA USBO

KAEDAH pelaksanaan projek pembangunan luar bandar perlu dikaji semula bagi menentukan agenda pembangunan yang digariskan dalam Bajet 2012 untuk memajukan kawasan luar bandar mencapai matlamat dan sasarannya.

Presiden Usbo, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak, berkata kajian semula kaedah yang dipraktikkan sekarang bertujuan menentukan keberkesanan pelaksanaan sesuatu projek dengan matlamat utama memastikan rakyat luar bandar mendapat faedah maksimum.

"Kita melihat Bajet 2012 ini mempunyai harapan tinggi mengangkat kehidupan rakyat di luar bandar. Ia jelas meringakan bebanan rakyat biasa, sekali gus diyakini mampu merancakkan pembangunan luar bandar.

"Yang penting ialah kaedah pelaksanaan. Elok barangkali Kerajaan Pusat berbincang dengan kerajaan negeri mengenai kaedah pelaksanaannya memandangkan kerajaan negeri mempunyai jentera yang mantap di kawasan luar bandar," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MT Usbo di sini hari ini.

Dalam Bajet 2012 yang dibentangkan pada Jumaat, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM5 bilion bagi memperkukuhkan pembangunan infrastruktur asas luar bandar secara lebih komprehensif tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM1.8 bilion bagi Program Jalan Luar Bandar dan Projek Jalan Perhubungan Desa untuk membina 2,749 kilometer jaringan jalan raya yang memberi manfaat kepada 1.76 juta penduduk luar bandar.

Di samping itu, RM2.1 bilion disediakan bagi memperluas liputan bekalan air bersih kepada 200,000 rumah serta RM1.1 bilion untuk bekalan elektrik luar bandar kepada 39,000 buah rumah khususnya di Sabah dan Sarawak.

Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah berkata, jelas sekali Bajet 2012 menitikberatkan kepentingan rakyat, seiring slogan 1Malaysia mendahulukan rakyat dan penduduk luar bandar merupakan segmen masyarakat yang diberi banyak tumpuan kali ini.

Oleh yang demikian, katanya, adalah penting supaya kaedah pelaksanaannya dimantapkan lagi agar matlamat yang diharapkan kerajaan itu tercapai.

"Kita tidak lagi mahu mendengar rintihan rakyat di peringkat akar-umbi dengan pelbagai dakwaan, kerana di pihak kerajaan tumpuan sewajarnya telah diberi dalam Bajet 2012 ini dan tugas kita sekarang adalah menentukan ia sampai kepada kumpulan sasaran," katanya.

No comments:

Post a Comment