Monday 17 October 2011

KE MANA HALATUJU PEWARIS MADAI?


Saudara Pengarang,

MESYUARAT Agung 2011 Pertubuhan Kebajikan Idahan Pewaris Madai (PEWARIS) telah diadakan 17 September 2011 di Dewan Perdana, Lahad Datu yang dikelolakan Jawatankuasa Pelaksana dan dipengerusikan Timbalan Yang Dipertua PEWARIS Sesi 2004/2011, Sulaiman Pengiran Atok.

Hampir 2,000 orang masyarakat Idahan dari daerah Lahad Datu telah menghadiri Mesyuarat Agong kali ini. Yusof Haji Serangit selaku yang Dipertua PEWARIS sesi 2004/2011 dalam ucapan dasarnya, antara lain menggesa ahli-ahli PEWARIS supaya sentiasa patuh kepada Perlembagaan PEWARIS. Beliau juga mengingatkan ahli-ahli yang tidak patuh kepada Perlembagaan boleh dipecat daripada PEWARIS.

Walaupun pertubuhan ini telah beberapa kali mengadakan mesyuarat Agong, namun mesyuarat kali ini kelihatan seperti ‘Mesyuarat Kekampungan’ dan tidak mematuhi perlembagaan, tidak sebagaimana ditegaskan oleh Yusof Haji Serangit.

Berikut adalah asas dakwaan saya’

1. PEWARIS gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan. Selepas mesyuarat agung terakhir pada 2004.

2. Setiausaha, Haji Mursyid Mohd Rais dan Bendahari Ali Jamal (yang maut ditikam 14 lelaki pada 18 September 2011) tidak menghadiri mesyuarat agung untuk membentangkan laporan kira-kira masing-masing.

3. Tidak ada laporan daripada Setiausaha dan laporan daripada Bendahari yang sepatutnya dibentangkan kepada ahli-ahli PEWARIS yang hadir.

4. Agenda Mesyuarat agung tidak disediakan untuk edaran kepada ahli-ahli yang hadir.

5.Ismail Haji Ator, Penolong Setiausaha sesi 2004/2011 membacakan laporan beliau kepada ahli yang hadir sambil menegaskan laporan beliau tidak perlu dibahaskan iaitu laporan tanpa bahas. Salinan laporan tidak disediakan untuk edaran kepada ahli-ahli.

6. Tidak semua yang hadir dan yang dibenarkan mengundi dalam pemilihan AJK merupakan ahli sah dan berdaftar di dalam PEWARIS. Ada pengundi tidak berdaftar dalam daftar keahlian tetapi dibenarkan mengundi.

Sehubungan itu, pemilihan Jawatankuasa PEWARIS 2011/2013 menyaksikan lebih 700 orang yang hadir telah berpeluang membuat pilihan masing-masing. Yusof Haji Serangit dan Sulaiman Atok masing-masing kekal dengan jawatan sebagai YDP dan TYDP tanpa dicabar.

SUlaiman selain bertindak selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Mesyuarat Agung, beliau juga merupakan pengurus penamaan calon pemilihan jawatankuasa PEWARIS 2011/2013.

Selain Yusuf Haji Serangit dan Yusuf Hj Shahabudin (bertanding jawatan Setiausaha), tidak ada golongan profesional menawarkan diri sebagai calon menduduki barisan AJK PEWARIS kali ini.

Begitupun Yusof Hj Shahabudin tewas dengan perbezaan undi yang besar kepada Mohammad Hj Serangit yang juga adik kepada Yusof Hj Serangit untuk jawatan Setiausaha. Jawatan Pemeriksa Kira-Kira tidak dilantik dalam mesyuarat agung kali ini.

Selain Yusuf Hj Serangit seorang penjawat awam dan Sulaiman Atok yang merupakan Ketua Daerah Lahad Datu, AJK PEWARIS lain dibarisi ahli-ahli PEWARIS dari Kampung Sapagaya, kecuali Mohammad Hj. Serangit dari Kampung Asam.

Diharap AJK PEWARIS 2011/2013 akan dapat melaksanakan usul-usul/cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam mesyuarat 17.09.2011 dan melaksanakan tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas untuk kebajikan PEWARIS khasnya dan kepentingan masyarakat Idahan amnya; berlandaskan perlembagaan PEWARIS dan peraturan-peraturan pertubuhan.

Ke mana halatuju Pewaris Madai jika selama ini gagal menaiktaraf ahli yang semakin miskin dan menjadi peminta; serta ramai mencuri harta cucu cicit yang diamanahkan kepada mereka?

Salam Hormat,

AHLI PEWARIS

No comments:

Post a Comment