Thursday 13 October 2011

KEDUTAAN MALAYSIA AKAN HANTAR NOTA DIPLOMATIK



Oleh : AHMAD FUAD YAHYA

KEDUTAAN Besar Malaysia di Jakarta akan menghantar nota diplomatik kepada kerajaan Indonesia berikutan kerosakan yang berlaku terhadap harta kedutaan besar itu ketika demonstrasi oleh sekumpulan masyarakat Indonesia Rabu.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan berkata pihaknya akan meminta penjelasan bagaimana kekacauan itu boleh tercetus sehingga keadaan menjadi tidak terkawal.

"Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta hampir setiap tahun berhadapan dengan kumpulan penunjuk perasaan sehingga berlaku pelbagai kerosakan pada aset negara.

"Nota diplomatik yang akan dikirim ini ialah bagi meminta penjelasan daripada kerajaan Indonesia bagaimana mereka dapat membantu kita menyelesaikan isu ini," katanya di sini Rabu.

Pengiriman nota diplomatik itu adalah selaras dengan Konvensyen Vienna yang menetapkan bahawa pihak berkuasa sesebuah negara harus melindungi harta benda setiap pejabat perwakilan asing di negara berkenaan.

Dianggarkan 650 anggota Forum Betawi Rempug (FBR) terlibat dalam demonstrasi hari ini yang bertukar menjadi liar sehingga beberapa harta Kedutaan Besar Malaysia rosak akibat dilempar dengan kayu dan buluh serta telur ke dalam kawasan kedutaan.

Antara yang rosak adalah cermin pos pengawal serta beberapa lampu pagar Kedutaan Besar Malaysia di Jalan H.R. Rasuna Said, Kuningan, Jakarta Selatan.

Demonstrasi itu diadakan kononnya dakwaan Malaysia telah mengambil secara haram lebih 1,000 hektar tanah milik Indonesia di Kalimantan Barat.

No comments:

Post a Comment