Tuesday 4 October 2011

KERAJAAN BN ABAIKAN KESELAMATAN UMUM



PEMUDA SAPP meminta Kerajaan agar jangan hanya mementingkan projek mega sehingga mengabaikan kemudahan asas seperti penutup longkang yang telah menyebabkan satu lagi nyawa terkorban.

Ketua Pemuda Inanam, Joseph Thadius mengeluarkan kenyataan merujuk kepada kes seorang pelajar sekolah rendah yang terkorban kerana terjatuh ke dalam longkang sedalam 12 kaki di batu 7, Jalan Tuaran ahad lalu ketika mengikuti ibunya memungut besi buruk.

“Mengapa agensi kerajaan seperti DBKK dan JKR tidak mengambil serius terhadap keselamatan orang awam? Mengapa Kerajaan tidak belajar dari insiden yang sama yang berlaku pada tahun lalu di Lintas yang turut meragut nyawa seorang kanak-kanak?” soal Joseph dengan nada yang sayu.

“Kerajaan sanggup memperuntukkan wang sebanyak RM388 juta untuk membina kompleks bangunan baru untuk menempatkan pejabat Ketua Menteri, tetapi tidak sanggup menyediakan peruntukan tidak lebih dari RM200 untuk memperbaiki kemudahan asas seperti penutup parit,” ujar Joseph yang juga merupakan Exco Pemuda SAPP Pusat.

Pemuda SAPP Kota Kinabalu sebelum ini pernah mengajukan kes penutup parit yang pecah berhampiran kawasan sekolah Likas melalui laman sosial FaceBook.

Walaupun telah mendapat respon dari Ketua Pengarah DBKK, tetapi malang sekali sehingga 4 minggu tiada tindakan daripada pihak terbabit dan pemuda SAPP hanya dimaklumkan bahawa kawasan tersebut di bawah jagaan JKR.

Untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku kerana kawasan berkenaan merupakan laluan lima buah sekolah menengah dan berdekatan dengan perhentian bas, maka pemuda SAPP telah bergotong-royong memperbaiki penutup parit berkenaan dan bantuan kewangan daripada wakil rakyat Likas untuk membeli bahan binaan.

Pemuda SAPP turut mendesak Kerajaan Barisan Nasional agar menyediakan peruntukkan untuk memperbaiki semua kemudahan asas terutamanya penutup parit dan longkang yang pecah di seluruh negeri dengan segera untuk mengelakkan insiden yang sama daripada berulang.

No comments:

Post a Comment