Thursday 6 October 2011

KERUGIAN CURI ELEKTRIK TURUN KEPADA 13.68 %




SABAH Electricity Sdn Bhd (SESB) berjaya menurunkan kerugiannya akibat kegiatan mencuri bekalan elektrik melalui penyambungan haram dan gangguan meter kepada 13.68 peratus sehingga 31 Ogos tahun ini, berbanding 18 peratus pada tahun-tahun sebelumnya.

Pengurus Besar (Pembahagian) SESB Ir Ahmad Fuad Md Kasim berkata kejayaan itu adalah hasil usaha penguatkuasaan berterusan agensi berkenaan dengan sokongan pelbagai agensi lain termasuk polis, Pihak Berkuasa Tempatan dan Suruhanjaya Tenaga.

"Kalau dahulu (biasanya) kerugian kita ialah sehingga 18 peratus setahun. (Kejayaan) ini adalah ekoran operasi berterusan dan kempen kesedaran yang dijalankan," katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat mengenai Skim Bantuan Pendawaian Luar Bandar (ARWS) anjuran SESB dan Persatuan Elektrik Sabah kepada penduduk Kampung Seri Damai di sini Rabu.

Beliau berkata sehingga Oktober tahun ini, SESB menjalankan 151 operasi pencegahan penyambungan haram melibatkan 132 penempatan di seluruh Sabah.

Sementara itu Ahmad Fuad berkata kira-kira 60,000 daripada 375,000 pengguna elektrik domestik di Sabah kini menikmati kemudahan sistem rebat kerajaan bernilai RM760,000 sebulan.

Di bawah sistem rebat, penggunaan elektrik kurang daripada RM20 sebulan dikecualikan daripada membayar bil.

Dalam pada itu, lebih 2,000 ketua isi rumah kurang berkemampuan di Sabah sudah memohon menyertai Skim Bantuan Pendawaian Luar Bandar (ARWS) anjuran Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Persatuan Elektrik Sabah sejak skim dilancarkan April lalu.

Ahmad Fuad Md Kasim berkata mereka sebahagian daripada 16,080 premis di seluruh Sabah yang dikenal pasti layak diberi kemudahan bekalan elektrik di bawah skim ARWS itu.

"Tinjauan kita terhadap pelaksanaan projek bekalan elektrik luar bandar mendapati masih ada penduduk yang belum mendapat bekalan elektrik meskipun projek di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) berkenaan sudah siap.

"Sebab itu kita tampil dengan program ARWS ini untuk memastikan golongan kurang berkemampuan ini dapat menikmati bekalan elektrik," kata Ahmad Fuad lagi.

Melalui ARWS, penduduk membayar kos pendawaian dalaman rumah mereka sebanyak RM510 menerusi ansuran selama 36 bulan kepada SESB, iaitu RM14.20 sebulan untuk enam bulan pertama dan RM14.16 sen bagi bulan-bulan berikutnya.

Di Lahad Datu, sebanyak sembilan kampung dikenal pasti akan menikmati kemudahan skim itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Fuad berkata bayaran itu adalah jauh lebih rendah berbanding kos biasa antara RM800 hingga RM1,000 dan SESB memperuntukkan RM10 juta untuk melaksanakan skim tersebut.

Lazimnya, di bawah projek bekalan elektrik luar bandar KKLW, wayar elektrik akan dipasang hingga ke rumah penduduk yang layak namun pendawaian dalaman rumah perlu diusahakan ketua isi rumah sendiri.

Ahmad Fuad berkata melalui skim itu pengguna tidak perlu menunggu lama bagi menikmati kemudahan bekalan elektrik, kerana bekalan terus disambung sebaik sahaja mereka menjelaskan wang cagaran RM40 dan duti setem RM10.

Beliau turut meminta pemimpin masyarakat agar mengenal pasti penduduk di kawasan masing-masing yang layak menyertai ARWS.

No comments:

Post a Comment