Thursday 20 October 2011

KO-KURIKULUM PENTING DALAM SISTEM PENDIDIKAN



TAHNIAH.....Muhyiddin menyampaikan Anugerah Murid Cemerlang Kurikulum kepada salah seorang Penuntut SMK Bandar.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

PENGARAH Pelajaran Negeri Sabah Datuk dR Haji Muhyiddin Yussin menyarankan ibubapa agar melihat prestasi dan potensi sebenar anak-anak dalam bidang ko-kurikulum kerana ia merupakan satu cabang besar dalam sistem pendidikan negara, mahupun di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Beliau menegaskan, tanggapan sesetengah ibubapa bahawa aktiviti ko-kurikulum tidak membawa kebaikan dan membuang masa, hendaklah segera dikikis.

Ini katanya, untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 yang turut menekankan aspek pendidikan, seperti termaktub dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), maka negara ini memerlukan generasi yang berkaliber, berwibawa dan berintelek selari dengan pembentukan modal insan.

"Kejayaan Datuk Lee Chong Wei dalam sukan badminton dan Datuk Nicol David sebagai pemain skuasi nombor satu dunia, sepatutnya menjadi contoh," Muhyiddin berkata demikian semasa berucap menyempurnakan perasmian Hari Anugerah Ko-kurikulum Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Sandakan 2011 di Dewan SMK Merpati, di sini, kelmarin.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata bagi melahirkan lebih ramai ahli sukan yang berjaya maka kerjasama daripada semua pihak termasuk masyarakat sekeliling adalah perlu dalam usaha mencapai matlamat tersebut.

Katanya, kecemerlangan sesebuah organisasi bukan saja terletak pada pengurusan yang sempurna atau individu itu sendiri tetapi turut melibatkan kerjasama serta komitmen masyarakat.

"Mereka yang mempunyai komitmen tinggi terhadap tugas diamanahkan tentu sekali mampu melahirkan idea-idea yang berguna untuk memajukan organisasi.

"Malahan, melalui Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mana kerajaan akan memperuntukkan sejumlah wang bagi pembinaan gelanggang futsal di beberapa kawasan yang dikenal pasti.

"Langkah ini merupakan satu usaha menggalakkan rakyat di negara ini khususnya generasi muda bergiat aktif dalam kokurikulum terutama dalam bidang sukan. Saya berharap peluang yang disediakan kerajaan ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin," jelasnya.

Beliau menambah bahawa penyediaan kemudahan sukan tentu menjamin kejayaan yang lebih cemerlang di dalam apa juga jenis sukan dan sebab itulah pihak kerajaan merancang rapi untuk mencungkil bakat-bakat pelajar sekolah supaya mereka boleh diketengahkan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Bagi Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, katanya, peruntukan itu membolehkan Unit Ko-kurikulum menjalankan pelbagai perancangan menyemarakkan kegiatan ko-kurikulum di semua sekolah, untuk memastikan negeri ini tidak ketandusan pelapis sukan yang berkualiti dan mampu mengukir nama sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Muhyiddin berharap, anugerah yang diterima sempena program tersebut akan menjadi pendorong dan perangsang semangat kepada pelajar-pelajar serta warga pendidik di daerah ini supaya terus berusaha memperbaiki kualiti pengurusan dan pencapaian.

Ujarnya, budaya kerja yang cemerlang ini diteruskan dari semasa ke semasa agar PPD Sandakan menjadi contoh kepada daerah-daerah yang lain di negeri ini.

"Selepas ini, semua pelajar dan warga pendidik termasuk pihak pengurusan perlu berganding bahu dalam satu pasukan bagi membawa nama baik PPD Sandakan ke arah kejayaan yang lebih cemerlang dan gemilang.

"Ini kerana, penganugerahan yang diberikan kepada mereka yang cemerlang bukan bermakna sesuatu kejayaan itu diberi ganjaran... tetapi ianya lebih kepada pengiktirafan. Jika sesuatu ganjaran itu menjadi satu ukuran bagi mengiktiraf sesuatu kejayaan, maka saya percaya tidak akan wujud keikhlasan dalam mencapai kecemerlangan apatah lagi untuk mengejar kegemilangan," kata Pengarah Pelajaran Negeri itu.

Sementara itu, Hari Anugerah Ko-kurikulum kelmarin telah menyaksikan penyampaian anugerah kepada kategori guru, murid, badan, kelab, persatuan, pendidikan khas dan sekolah.

Matlamatnya adalah bagi memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada sekolah, pasukan mahupun individu yang telah mencapai kualiti yang ditetapkan.

Disamping menjadi pemangkin kepada guru dan murid agar terus aktif dalam bidang kokurikulum, ia juga mencanang kepada masyarakat umum bahawa kegiatan kokurikulum sama penting dengan bidang akademik di sekolah.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai Pelajaran Daerah Sandakan Haji Sh Mahada Sh Attar.

No comments:

Post a Comment