Monday 3 October 2011

KONSEP MESRA TARIK BELIA SERTAI DAKWAH



DIHARGAI…Jamawi menerima cenderakenangan dari Ketua USIA Bahagian Tenom Piduman Haji Adul Majid selepas merasmikan mesyuarat agung tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

BADAN-BADAN Agama di negeri ini, termasuk Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) perlu melaksanakan konsep mesra belia bagi menarik golongan muda terlibat dengan program program dakwah.

Ahli Majlis Tertinggi (USIA) Jamawi Jaafar berkata, dengan menjadikan belia seumpama sahabat atau meremajakan program dakwah kepada golongan ini akan dapat memahami kehendak mereka secara berkesan.

"Badan-badan agama atau dakwah seharusnya tidak menyisihkan dengan golongan muda untuk memikat mereka bersama dalam setiap program keagamaan yang kita laksanakan.

"Kita perlu bersikap terbuka dengan menganjurkan program dakwah dan dikendalikan oleh golongan itu sendiri," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat agung (USIA) bahagian Tenom di Dewan serbaguna masjid Ar Rahman Tenom, kelmarin yang turut dihadiri Ketua (USIA) Tenom, Piduman Haji Adul Majid.

AMANAT…Jamawi ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tersebut.

Menurut Jamawi yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia aktiviti dan program dakwah yang dijalankan perlu seiring dengan peredaran zaman dan sesuai dengan selera golongan muda dengan mempelbagaikan program yang mampu dimanfaatkan oleh kaum remaja Islam.

“Pendekatan sedia ada perlu dilihat semula kerana ia dikhuatiri boleh menjauhkan remaja kepada program berbentuk keagamaan dengan mengadakan program keagamaan dengan konsep yang lebih terbuka bagi memastikan keselesaan yang mampu membantu peserta untuk menerima dan memahami segala ilmu yang diajar," katanya.

Tambah Jamawi ia tidak semestinya terhad kepada program dakwah tetapi merangkumi program pendidikan, ekonomi dan kebajikan.

Menurut Jamawi lagi, penguasaan terhadap ilmu keagamaan mampu mencegah golongan belia berkenaan daripada aktiviti yang tidak sihat.

SUMBANGAN…..Jamawi turut menyampaikan sumbangan kepada pembimbing kumpulan nasyid SAB Chinta Mata Tenom yang turut memeriahkan mesyuarat agung tersebut dengan persembahan lagu-lagu nasyid.

''Ia juga mampu meningkatkan jati diri dan perpaduan sesama ummah," katanya.

Dalam pada itu Jamawi berharap agar (USIA) termasuk badan badan Agama Islam yang lain di negeri ini agar memperkasakan gerakan dakwah kepada saudara baru di negeri ini.

Menurut beliau ini penting agar golongan ini tidak merasa tersisih disamping dengan kekarapan program dakwah yang melibatkan golongan ini akan dapat memantapkan lagi pengetahuan agama Islam dan uslub dakwah untuk melahirkan saudara Muslim yang berkualiti dan cemerlang kefahaman mereka tentang ajaran Islam yang sebenarnya.

No comments:

Post a Comment