Wednesday 26 October 2011

KRAFTANGAN MAMPU KEMUDI EKONOMI HILIRAN


Oleh : SHAIMON S JUMADI

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Datuk Haji Samsudin Yahya, berkata kerajaan sentiasa membantu masyarakat, asalkan ada keinginan dan halatuju untuk berkembang maju, apatah lagi pelbagai peluang disediakan dalam bidang keusahawanan.

“Dari itu golongan wanita terutama sekali suri rumah, khususnya ibu tunggal perlu mengambil anisiatif dan proaktif dalam mencerburi program yang boleh menambahkan sumber pendapatan untuk membantu keluarga,” kata Samsudin ketika berucap menyempurnakan perasmian Program Latihan Kraftangan anjuran Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pantai Timur Utara dengan kerjasama Biro Hal-Ehwal Wanita, Masjid Nururrahman Taman Mawar yang berlangsung di perkarangan masjid berkenaan baru-baru ini.

Beliau mengambil contoh, industri kraftangan melibatkan pembuatan manik dan labuci diyakini mampu menjadi satu perniagaan yang secara tidak langsung mengetengahkan mereka dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Katanya, pembuatan manik dan labuci antara cabang perniagaan yang harus diceburi berikutan potensi industri itu terutama melibatkan pasaran tempatan dan tidak mustahil ia mampu menembusi sehingga ke luar negara sekiranya mereka membuatnya secara bersungguh-sungguh.

"Kita tahu golongan wanita memang mahir dalam membuat gubahan kraftangan apatah lagi bagi yang pandai menghias dan ada kreativiti macam mana mencoraknya. Saya yakin, anda boleh menambah pendapatan sampingan di rumah asalkan yakin dengan diri sendiri serta tidak berputus asa," ujarnya.

Sehubungan itu, Samsuddin berkata surirumah dan ibu tunggal bukan lagi dilihat sekadar duduk di rumah untuk mengurus hal-ehwal rumahtangga semata-mata; sebaliknya mereka mampu mengemudi ekonomi hiliran negeri ini.

Katanya, ramai di kalangan golongan terbabit mencipta nama dalam bidang perniagaan melibatkan industri kraftangan kerana kecenderungan dan kreativiti mereka menghasilkan bermacam-macam gubahan.

"Sikap seperti itu wajar menjadi contoh kepada orang lain kerana tidak membuang masa sebaliknya bijak menggunakan masa yang ada dan sekali gus menambah pendapatan keluarga.

"Saya juga berterima kasih diatas inisiatif Yayasan Sabah yang seringkali menganjurkan kursus-kursus sebegini yang akan meningkatkan lagi kemahiran peserta dalam membuat kraftangan dengan kreatitivi tersendiri," tambahnya.

No comments:

Post a Comment