Wednesday 19 October 2011

KRT MEMPERKUKUH PERPADUAN



TERIMA…. Pengarah JPNIN Sabah, Nurul Akmalina Haji Shamsuddin (kanan) sedang menerima cenderahati daripada Pengerusi KRT Kampung Kota Tuaran, Haji Ghulabdin Enjih.

Oleh: KREW SABAHKINI.NET

PENGARAH Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Sabah, Nurul Akmalina Haji Shamsuddin mengesa semua pihak, termasuklah kepimpinan di peringkat kampung agar memberikan kerjasama dan sokongan terhadap jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang lebih fokus terhadap aktiviti untuk mengajak seluruh masyarakat pelbagai kaum untuk memperkukuhkan dan memelihara perpaduan yang telah wujud sejak sekian lama.

Ketika berucap merasmikan Sekolah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) Perpaduan di Kampung Kota Tuaran, Nurul Akmalina mengesa semua pihak agar terus menjalinkan kerjasama dan persefahaman yang utuh di antara satu sama lain demi untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian kaum.

"Saya percaya pendekatan yang lebih berkesan untuk menentukan perpaduan di kalangan penduduk setempat berkekalan. Hanyalah dengan dedikasi semua pimpinan pelbagai peringkat di kampung berkenaan agar dapat menawan hati penduduk setempat, termasuklah generasi muda untuk menyertai kegiatan badan bukan kerajaan (NGO) atau badan-badan sukarela seperti KRT.

“Penglibatan semua pimpinan kampung, sekurang-kurangnya akan mengajak rakyat setempat bersama menjaga ketenteraman, perpaduan dan keharmonian yang sekali gus menjadi anjakan paradigma kepada keseluruhan penduduk agar bertanggungjawab menjaga keselamatan semua penduduk mapung" kata Nurul Akmalina lagi.

Selain itu beliau juga berharap kepada semua penduduk kampung menerusi KRT yang terdapat di kampung-kampung berkenaan agar berusaha untuk menubuhkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang akan dapat membantu mencegah jenayah dan mempertahankan keselamatan harta benda penduduk setempat.

TINJAU….. Nurul Akmalina (dua dari kanan) semasa meninjau sekolah TABIKA Kampung Kota Tuaran bersama Pengerusi KRT Kampung Kota Tuaran, Haji Ghulabdin Enjih; Pegawai Perpaduan Tuaran, Zulzilah Kalon; Ketua Kampung Seri Bayu Tuaran, Haji Ismail Setoh dan Pengerusi Masjid Baitul Makmur Kampung Kota Tuaran, Haji Adis Enjih (kanan).

"Usaha untuk menubuhkan SRS adalah satu langkah yang seharusnya dipuji kerana kesanggupan bertugas secara sukarela ini adalah semata-mata untuk menjaga keselamatan diri dan penduduk kampung pada keseluruhannya," kata Nurul Akmalina yang memberi jaminan bahawa JPININ akan meluluskan permohonan semua KRT untuk mengadakan SRS di mana juga.

Perasmian TABIKA Perpaduan Kampung Kota Tuaran turut dihadiri oleh Pegawai Perpaduan Daerah Tuaran, Zulzilah Kalon; Penolong Pengarah Jabatan perpaduan, Zaizarul Nizam; Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Kota Tuaran, Haji Ghulabdin Enjih; Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tuaran, Marsah Muyong; Ketua Kampung Seri Bayu Tuaran, Haji Ismail Setuh; Pengerusi Masjid Baitul Makmur Kampung Kota Tuaran, Haji Adis Enjih; Pengerusi JKKK Kampung Seri Bayu, Mohamad Sabi Ahmad dan Ketua Bahagian Persatuan Anak Negeri Sabah (PANSA ) TUaran, Ibrahim Ali Omar.

Terdahulu dalam ucapannya, Pengerusi KRT Kampung Kota Tuaran, Haji Ghulabdin Enjih amat menghargai kelulusan JPNIN sehingga ujudnya sebuah sekolah TABIKA Perpaduan di kampung itu yang dapat membantu penduduk menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang berhampiran seperti ini.

"Saya yakin dengan adanya TABIKA ini akan menjadi mercu tanda terhadap perpaduan penduduk yang telah terjalin sejak sekian lama. Oleh itu adalah sewajarnya persefahaman dan toleransi di kalangan penduduk akan berkekalan selamanya," kata Haji Ghulabdin yang juga Pengerusi Komuniti 1 Malaysia Kampung Kota Tuaran.

No comments:

Post a Comment