Monday 31 October 2011

KUALA PENYU PERLU KOMPLEKS PERIKANAN



MESRA..Lajim ketika mengiringi Noh bersalaman dengan orang ramai sejurus tiba ke majlis tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

TIMBALAN Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Malaysia, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin meminta agar kerajaan Persekutuan membina sebuah Kompleks Perikanan di daerah Kuala Penyu sebagai langkah strategik jangka panjang bagi membela kepentingan nelayan di daerah tersebut.

Menurut Lajim, Jabatan Perikanan telah mengenalpasti sebuah tapak yang sesuai untuk dimajukan sebagai tapak kompleks tersebut dan apabila dapat dilaksanakan akan mampu mengubah landskap pembangunan di daerah tersebut, sekali gus menjadi penyumbang kepada peningkatan ekonomi masyarakat setempat.

"Daerah ini memang begitu sesuai didirikan kompleks perikanan kerana kedudukannya yang berada di tengah-tengah antara Wilayah Persekutuan, Kota Kinabalu dan daerah di persekitaranya akan memberikan kemudahan kepada masyarakat nelayan untuk memungah hasil tangkapan mereka,” katanya ketika berucap di majlis Pesta Nelayan ke 11, di Menumbok, petang kemarin.

Pesta yang dihadiri lebih dari 2,000 orang masyarakat setempat itu dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Haji Noh Omar dan turut dihadiri oleh Wakil Rakyat Kuala Penyu John Teo Mau Sing; Wakil Rakyat Sinduman Haji Ahmad Bujang dan Pegawai Daerah Kuala Penyu selaku Pengerusi Penganjur Bersama Pesta Nelayan ke 11, Edmond Teo.

LANCAR…Lajim mengiringi Noh menarik tirai baner sebagai simbol perasmian pesta tersebut.

SAMBUTAN…..Noh yang diiringi oleh Lajim disambut dengan tarian tradisi masyarakat Tatana Kuala Penyu sejurus tiba untuk merasmikan pesta tersebut.

Menurut Lajim yang juga Ahli Parlimen Malaysia (Beaufort), selain aktiviti pemunggahan hasil tangkapan ikan, kompleks ini juga akan menjadi tempat membaiki kapal nelayan yang rosak di samping menjadi komplek yang mempelbagaikan industri hiliran ringan seperti memproses ikan menjadi keropok dan produk berasaskan ikan.

Lajim turut mencadangkan agar kerajaan memperbanyakkan projek membina tukun tiruan di kawasan perairan, khususnya di daerah tersebut yang boleh membantu para nelayan memperbanyakkan hasil tangkapan mereka.

Dalam perkembangan lain, beliau juga turut meminta kerajaan mengkaji semula pembatalan lebih dari 3,000 lesen nelayan kepada para nelayan di negeri ini yang turut menjejaskan taraf kehidupan masyarakat nelayan yang bergantung sepenuhnya kepada aktiviti penangkapan ikan.

“Saya minta kerajaan, khususnya jabatan yang berkaitan mengkaji semula pembekuan ini, jika ianya hanya melibatkan segelintir nelayan yang menyalah gunakan lesen yang diberikan, tindakan kepada mereka yang terlibat sahaja perlu dilakukan “ jelas Lajim.

No comments:

Post a Comment