Wednesday 12 October 2011

LABUAN SHIPYARD BERSINAR KEMBALI



LABUAN Shipyard and Engineering Sdn Bhd (LSE) telah bersedia untuk mengembalikan semula kegemilangan Sabah Shipyard tanpa melencong daripada aktiviti terasnya iaitu fabrikasi dan minyak dan gas.

LSE yakin mampu menggalas tanggungjawab kontrak yang diterima baru-baru ini bernilai RM100 juta daripada Tanjung Kapal Services Sdn Bhd bagi kerja-kerja kejuruteraan, pembinaan, ujian dan penghantaran Kapal Bekalan Platform (PSV) diesel-elektrik DP2 77 meter.

PSV itu direka bagi melaksanakan tugasan pengangkutan kargo dek, pekerja, pengisian semula dan peralatan antara platform luar pesisir dan pangkalan pantai, pencegahan kebakaran luaran, perlindungan pencemaran dan operasi menyelamat.

Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Azman Nasir memberitahu pemberita Selasa yang pemberian projek kepada syarikat akan menarik para pemerhati dan peserta ke dalam sektor minyak dan gas.

"Sudah pasti, kita diperhatikan, dengan pelanggan berpotensi turut meninjau sama ada kita boleh menyudahkan projek mengikut jadual atau lebih awal. Kita juga percaya yang dengan berjayanya tugasan ini, bermakna, lebih banyak tempahan daripada Tanjung Kapal.

"Kita turut mendapat perhatian daripada mereka yang terlibat dalam industri dan percaya prospek terdapatnya lebih banyak projek di masa akan datang," kata beliau selepas majlis pelaksanaan pembinaan untuk PSV di sini hari ini.

Penutupan Sabah Shipyard 15 tahun lepas menyaksikan pemberhentian 3,000 pekerja dan menjejaskan dengan teruk ekonomi Labuan.

Pengalaman selama 40 tahun LSE dalam industri pembinaan kapal akan dimanfaat sepenuhnya bagi mendapatkan kembali kepercayaan syarikat antarabangsa terkemuka serta syarikat minyak dan gas tempatan bagi projek-projek masa depan.

Sejak LSE mengambilalih pengurusan dan operasi Sabah Shipyard bersama-sama dengan keseluruhan tenaga kerjanya pada tahun 2005, ia telah membelanjakan lebih RM60 juta untuk menambahbaik kemudahan dan peralatan.

Tenaga kerja LSE telah meningkat daripada kurang 200 kepada hampir 400 hari ini.

Dengan meningkatnya aktiviti minyak dan gas seperti yang dijangkakan tahun depan, LSE seharusnya dapat bergerak ke hadapan dari segi menjadi limbungan kapal yang berkompetensi di Asia, disokong oleh limbungan dan kemudahan terbesarnya di rantau ini.

Mengenai rancangan masa depan, Mohd Azman berkata LSE fokus kepada memberikan kerjasama dengan syarikat-syarikat minyak antarabangsa seperti Shell dan Petronas, dan pada masa yang sama, membida projek seberang laut di Timur Tengah, Kemboja dan beberapa negara tertentu di rantau ini. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment