Monday 24 October 2011

MAKMAL KOMPUTER Vs GAJAH PUTIH?



MISTERI.....Bilakah anak-anak Semporna dapat menekan keyboard komputer di makmal komputer yang tersergam indah ini?

Saudara Pengarang,

MAKMAL Komputer di Daerah Semporna hanya tersergam indah tetapi sayang tidak dapat digunakan kerana rosak sebelum dapat digunakan, tetapi bayaran penuh telah dibuat kepada kontraktor luar.

Sejak wujudnya makmal komputer di Semporna pada tahun 2008, projek ini hanya projek ‘Gajah Putih’ kerana mengalami kerosakan sebelum dapat digunakan, tetapi tidak pernah diperbaiki oleh kontraktor yang dianugerah projek berkenaan.

Pada tahun 2010, 15 Buah makmal menerima peruntukan untuk dibaik pulih. Alhamdulillah, semuanya berjalan baik seperti berita yang dipaparkan media masa, apatah lagi kerja-kerja baik pulih dilaksanakan oleh beberapa syarikat-syarikat tempatan.

Namun malang kembali bertaut, ibarat awan hitam masih tidak berganjak dari makmal komputer tersebut kerana masih belum dapat digunakan oleh para pelajar yang dahagakan ICT.

Apabila pihak sekolah ditanya kenapa Makmal Komputer yang indah dan canggih itu tidak boleh digunakan, mereka hanya menjawab, Pejabat Pelajaran Daerah Semporna belum lagi memberikan kunci dan kebenaran mengunakannya.

Lagi menyayat hati apabila tiada sambungan bekalan SESB ke Bangunan Makmal Komputer tersebut. Secara logiknya apabila sambungan elektrik tiada, tenaga apa digunakan untuk menghidupkan Komputer-Komputer yang canggih itu? Adakah Bateri PLUMBUM lagi?

Mengikut sumber, semua 15 buah makmal komputer di Daerah Semporna yang telah siap dibaikpulih (3 buah lagi dalam proses baikpulih) tidak mempunyai Sijil Kebenaran Menduduki (OC) dari Pihak Kerajaan Tempatan iaitu Majlis Daerah Semporna (MDS).

Siapakah yang bertanggungjawab untuk membuat permohonan OC tersebut? Adakah syarikat besar yang tidak bertanggungjawab atau syarikat kecil tempatan yang melaksanakan kerja baik pulih atau Pejabat Pelajaran Daerah Semporna?

Jika syarikat besar yang bertanggungjawab untuk mengurus OC, amat mustahil kerana mereka sudah terbukti tidak bertanggungjawab, malah telah membiarkan projek makmal komputer di Daerah Semporna terbangkalai selama dua tahun; sehingga ada yang menjadi pusat penagihan dadah dan gam serta sarang haiwan berbisa seperti ular.

Jika Syarikat Kecil tempatan yang bertanggungjawab untuk mengurus OC, juga amat mustahil kerana dalam proses penawaran kerja kepada syarikat-syarikat kecil tempatan, banyak penyelewengan telah berlaku.

Bermula daripada proses awal tender tersebut, Urusetia Jawatankuasa Teknikal Tender 15 Makmal Komputer Daerah Semporna sudah terang-terang melakukan penyelewengan apabila penjualan ’Borang-Borang Sebut Harga’ yang sepatutnya tidak boleh dijual; telah dijual oleh Urusetia Tender Pejabat Pelajaran Daerah Semporna dengan harga RM 20 senashkah dan bukti pembelian borang tersebut mengunakan Resit yang dibeli dari kedai dan bukannya resit Rasmi Kerajaan.

Sudah pasti wang jualan borang tersebut tidak dimasukkan ke akaun kerajaan yang jumlahnya cukup lumayan iaitu sekitar RM 8,000. Selepas itu, Para pemilik Syarikat diberi kata dua, jika ingin mendapatkan tawaran kerja baikpulih makmal Komputer, para pemilik syarikat harus memberikan kebenaran kepada orang tertentu (proksi Urussetia Tender Pejabat Pelajaran Daerah Semporna) untuk melaksanakan kerja baik pulih tersebut dan pemilik syarikat berkenaan hanya akan dibayar 2% -5% dari jumlah peruntukan.

Mana-mana syarikat yang engkar, Surat tawaran Kerja akan ditarik semula. Dengan keadaan ekonomi yang tidak menyebelahi, para pemilik syarikat tiada pilihan terpaksa menerima paksaan tersebut.

Namun penyelewengan tidak berhenti di situ sahaja kerana pelbagai tindakan songsang Urusetia Jawatankuasa Teknikal Tender yang didalangi Pegawai Pelajaran Daerah iaitu Moktar Abdul Rahsid, (Anak Setiausaha Umno Bahagian Semporna); Rone Muhammad (Pendatang asing Filipina), Mucthar Jalil (Pendatang Timor Leste); Edis Mani (Pendatang Indonesia); Pairin Intang (Pembelot anak-anak Sabah) dan Seorang Pegawai berjawatan kontrak.

Untuk makluman, Moktar Abdul Rahsid, berjaya menduduki jawatan PPD Semporna kerana pengaruh ayahnya sebagai Setiausaha UMNO melobi ke peringkat Menteri.

Moktor Abdul Rahsid sebelum ini merupakan Pengetua di SMK Abdullah II, Semporna sehingga sekolah tersebut mengalami masalah kewangan yang serius dan mencari alasan untuk keluar dari masalah itu dengan mengunakan pengaruh ayahnya dan Iparnya (Sadim, Ketua Sektor Pembangunan Jabatan Pelajaran Negeri Sabah).

Banyak lagi penyelewengan dalam proses tender makmal komputer ini dan tidak perlu diperkatakan lanjut di sini kerana perkara ini telah dilaporkan kepada SPRM dan Kementerian Kewangan kerana persoalan utama bukanlah penyelewengan para perasuah, tetapi Sijil Kebenaran Menduduki (OC) bagi makmal komputer Sekolah Daerah Semporna, agar anak-anak bangsa dapat menikmati kemudahan yang canggih hasil titik peluh wang pembayar cukai.

Adakah pihak Pejabat Pelajaran Daerah Semporna bertanggungjawab untuk membuat permohonan tersebut setelah syarikat-syarikat kecil tempatan tidak mahu berkerjasama untuk menguruskan permohonan OC tersebut kerana permainan ’politik’ Urusetia Jawatankuasa Teknikal Tender Pejabat Pelajaran Daerah Semporna.

Mereka tidak ingin menanggung kerugian di atas pengurusan Permohonan OC tersebut yang mungkin memerlukan perbelanjaan yang banyak sedangkan pegawai dan kakitangan pejabat Pelajaran Daerah Semporna dan proksinya mendapat keuntungan beribu ringgit tidak ingin bertanggungjawab, apatah lagi mereka yang hanya mendapat 2% - 5% daripada kos kontrak.

Jika perkara ini tidak diselesaikan, amat pasti tiga lagi Makmal Komputer yang sedang dalam proses baik pulih dengan kos sekitar RM 500,000 juga akan menerima nasib yang sama dengan 15 makmal komputer sebelum ini.

Persoalannya, adakah ahli-ahli politik dan pengurusan Jabatan Pelajaran Negeri Sabah ingin menyelamatkan pegawai yang tidak mementingkan integriti ini terus bermain wayang?

Salam Hormat,

BAPA MALANG

1 comment:

  1. aku pn pelik juga la..knp msih nda dpt dgunakan smpai skrg..kena cek ni..xbole melulu sja..nnti, syg pahala kita kena bagi free dgn dorg..sdh la mengumpat, mfitnah lagi..=..='

    ReplyDelete