Wednesday 12 October 2011

MALAYSIA BIMBANG KEGANASAN DI SYRIA



WARGA Malaysia yang tinggal di Kaherah dinasihatkan supaya mematuhi perintah berkurung dan sekatan-sekatan lain yang dikenakan pihak berkuasa berikutan pertempuran terbaru di ibu negara Mesir itu.

Dalam satu kenyataan Isnin, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, ketika menyatakan pandangan berat terhadap kejadian terbaru itu, menasihatkan mereka jangan berjalan/memandu seorang diri dan mengelakkan semua kawasan yang terlibat dengan pertempuran terutama kawasan berhampiran bandar Kaherah dan Medan Tahrir.

Rakyat Malaysia juga dinasihatkan melaporkan segera sebarang kejadian ke Kedutaan Malaysia di Kaherah. Kedutaan itu sedang memantau keadaan dari dekat, kata beliau.

Pada ahad, pertempuran meletus antara puak Kristian dan askar Mesir selepas berlaku protes di Kaherah terhadap serangan ke atas sebuah gereja di wilayah Aswan minggu lepas.

Sekurang-kurangnya 24 orang dilaporkan terbunuh dan lebih 200 yang lain cedera dalam insiden itu.

Berikutan itu, pemerintah tentera Mesir mengenakan perintah berkurung di Medan Tahrir dan bandar Kaherah dari 2 pagi hingga 7 pagi waktu tempatan pada Isnin.

Anifah berkata tidak ada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden itu setakat ini.

Dalam pada itu, Malaysia menentang sebarang campur tangan tentera asing untuk menghentikan sengketa di Syria.

Semasa mengemukakan pendirian Malaysia mengenai Syria Isnin, Anifah menegaskan adalah menjadi dasar Malaysia menghormati kedaulatan dan tidak mencampuri urusan hal ehwal negara lain.

Beliau berpandangan bahawa campur tangan tentera luar di Syria adalah tidak perlu kerana semua pihak berkenaan boleh mengadakan dialog secara aman mencari penyelesaian terhadap kebuntuan politik dalam memenuhi hasrat rakyat Syria.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat tertutup dengan Duta Khas Presiden Syria ke Malaysia, Dr Buthaina Shaaban di sini yang menerangkan kedudukan di Syria, Anifah berkata dalam perjumpaan itu beliau telah menyuarakan kebimbangan kerajaan Malaysia terhadap keganasan berterusan dan kehilangan nyawa yang terjadi di Syria.

Anifah berkata Syria dialu-alukan mencontohi Malaysia dalam program transformasi demokrasi, kestabilan dan usaha mengekalkan keadaan di negara ini.

"Sebagai sebuah negara sahabat, Malaysia tidak mahu melihat Syria tercebur dalam kencah permusuhan yang akan merugikan rakyat Syria," katanya.

Dalam pada itu, Dr Shaaban berkata beliau mengutuk segala anasir luar yang cuba memecahbelahkan rakyat Syria dengan mengambil kesempatan terhadap keadaan yang tidak menentu di negara-negara Asia Barat.

"Kami tidak perlukan campur tangan luar terutama sekali dari negara-negara barat untuk menguasai keadaan dalam negara kami kerana kami sendiri mampu mengawal keadaan ini," kata beliau. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment