Saturday 15 October 2011

MALAYSIA-JEPUN SETUJU KERJASAMA MJIIT



PENUBUHAN Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) di Kampus Antarabangsa Universiti Teknologi Mara di sini bakal menjadi lambang kekal kerjasama Malaysia-Jepun dalam bidang pembangunan sumber manusia dan bina upaya.

Malaysia dan Jepun bersetuju MJIIT akan memberi kesan baik kepada hubungan dua hala kedua-dua negara dalam jangka masa panjang, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam kenyataan selepas mengadakan pertemuan bersama-sama rakan sejawatannya dari Jepun, Koichiro Gemba di pejabatnya Khamis.

Gemba, yang dilantik ke jawatan itu bulan lepas, kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke negara ini bermula semalam.

MJIIT, yang menawarkan empat program ijazah dan lepasan ijazah kepada pelajar Malaysia, memulakan sesi pengajian September lepas dengan pengambilan pertama seramai 130 pelajar.

Berbekalkan tujuh profesor dihantar khas kerajaan Jepun untuk memudahkan pemindahan ilmu pengetahuan, pelajar MJIIT berpeluang mengikuti empat kursus iaitu Kejuruteraan Sistem Elektronik, Kejuruteraan Mekanikal Kejituan, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar dan Pengurusan Teknologi dan Perniagaan.

MJIIT ditubuhkan di bawah inisiatif kerajaan Malaysia dan Jepun, ketika lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Jepun pada April 2010.

Anifah berkata pada pertemuan itu, beliau dan Gemba juga sependapat bahawa Dasar Pandang ke Timur harus diraikan menjelang ulang tahun ke-30 dasar itu tahun depan.

Dasar itu yang memanfaatkan Malaysia dan Jepun merupakan unsur penting dalam pembangunan hubungan dan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

"Oleh yang demikian, kami sependapat sambutan ulang tahun ke-30 Dasar Pandang ke Timur adalah baik untuk hubungan dua hala," katanya.

Menurutnya mereka turut bertukar-tukar pandangan mengenai sumbangan Jepun dalam rangka kerjasama serantau yang diterajui Asean seperti Asean-Jepun, Asean Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) dan Forum Rantau Asean (ARF).

Mengenai isu serantau, Anifah berkata mereka juga bertukar-tukar pandangan mengenai perjanjian Perkongsian Trans Pacific (TPP), keselamatan pelayaran di Selat Melaka, Laut China Selatan dan di perairan Somalia.

"Malaysia dan Jepun bersetuju untuk bekerjasama dalam inisiatif keamanan Asia Timur Tengah di mana kedua-dua pihak boleh membantu pembangunan sosio-ekonomi Palestin seperti dalam bidang industri kecil dan sederhana dan pertanian," katanya.

Untuk rekod, lawatan Gemba merupakan yang pertama oleh seorang Menteri Luar Jepun ke negara ini sejak 2006. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment