Tuesday 25 October 2011

MALAYSIA SUMBANG US$1 JUTA KEPADA THAILAND


Oleh : JAMALUDDIN MUHAMMAD

MALAYSIA telah menyerahkan sumbangan berjumlah US$1 juta (kira-kira RM3 juta) kepada Thailand yang kini dilanda bencana banjir terburuk dalam tempoh beberapa dekad.

Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman menyerahkan sumbangan itu kepada Perdana Menteri Yingluck Shinawatra di Pusat Arahan Operasi Bantuan Banjir di Lapangan Terbang Don Muaeng di sini.

"Malaysia harap bantuan ini akan dapat meringankan beban yang ditanggung rakyat Thailand," kata Anifah.

Beliau juga berkata Perdana Menteri Thai menghargai sumbangan Malaysia serta memaklumkan bahawa banjir di bahagian utara dan tengah negara itu dijangka surut dalam masa dua minggu.

Kira-kira satu pertiga daripada negara ini masih ditenggelami banjir, membabitkan 2.4 juta penduduk dari lebih 10,000 kampung di 28 wilayah di utara dan tengah Thailand, yang melanda secara berperingkat sejak 25 Julai lepas dan meragut 356 nyawa setakat ini.

Lebih 14,000 kilang membabitkan lebih 660,000 pekerja terjejas oleh bencana itu. Menurut Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Sosial Kebangsaan, sektor industri dijangka menanggung kerugian lebih 100 bilion Baht (kira-kira RM10 bilion), manakala sektor pertanian pula kerugian lebih 40 bilion Baht (RM4 bilion).

Pusat Unjuran Ekonomi dan Perniagaan di Universiti Dewan Perdagangan Thai menjangka kerugian boleh mencecah 500 bilion Baht (RM50 bilion) jika banjir melanda pinggir bandar Bangkok.

Angka itu selepas mengambil kira kerugian antara 280 hingga 300 bilion Baht akibat perniagaan dan peluang yang terjejas memandangkan ibu negara ini adalah hub perniagaan dan kewangan selain pusat pentadbiran kerajaan serta didiami sekitar 12 juta penduduk.

Anifah berkata kerajaan Malaysia akan memantau perkembangan banjir di negara ini dan bersedia menghulurkan bantuan seterusnya jika keadaan memerlukan.

Katanya, kerajaan Malaysia juga bersedia membantu pekilang Malaysia yang berpangkalan di negara ini yang terjejas akibat bencana itu.

"Bantuan mungkin dalam bentuk pengecualian cukai dan birokrasi," kata Anifah yang turut menyeru syarikat Malaysia agar membantu kerajaan Thai dan rakyatnya menghadapi bencana itu.

Kira-kira 10 syarikat Malaysia yang mengeluarkan komponen automobil serta barangan elektrik dan elektronik terjejas akibat banjir tersebut.

Mengenai pelajaran paling berguna yang boleh dipelajari Malaysia daripada bencana di Thailand itu, Anifah berkata: "Kita mesti sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Kita tidak boleh menganggap bencana seperti ini tidak akan berlaku."

Pada lawatan singkatnya itu, Anifah turut bertemu dengan wakil salah sebuah syarikat Malaysia paling teruk terjejas iaitu Aapico yang mengeluarkan komponen automobil dengan kerugian dianggar lebih RM200 juta.

Beliau diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Aapico Yeap Swee Chuan mengenai kesan akibat banjir terhadap syarikat yang berpangkalan di Taman Hi-Tech di Ayutthaya selain usaha syarikat membantu pekilang lain menghadapi bencana.

Mengenai bantuan Asean terhadap anggotanya yang berhadapan krisis sedemikian, Anifah berharap penubuhan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Asean akan jadi kenyataan pada Sidang Kemuncak Asean di Bali pada November.

"Dengan penubuhannya, Asean dapat menghulur bantuan segera selain menggerakkan tenaga manusia sebagai pasukan penyelamat," katanya.

No comments:

Post a Comment