Saturday 1 October 2011

MASIDI GESA SIASATAN PROJEK IC DITERUSKAN



MENTERI Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun berkata siasatan berhubung isu 'Projek IC' di Sabah wajar diteruskan bagi memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan Persekutuan benar-benar prihatin terhadap setiap aduan dikemukakan.

Beliau berkata walaupun Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong semalam menafikan dakwaan tentang wujudnya apa yang dipanggil ‘Projek IC’ di negeri ini, pertambahan penduduk Sabah terutama antara tahun 1990 dan 2000 mewajarkan siasatan berterusan yang lebih menyeluruh.

"Apapun jawapannya (Timbalan Menteri Dalam Negeri), pelbagai pihak mahu kementerian terus menyiasatnya. Bagi kami di Sabah, sukar bagi kami menerima bahawa pertambahan penduduk yang begitu ketara dalam masa yang singkat.

"Inilah asas utama bagi Kementerian Dalam Negeri untuk membuat siasatan dan tidak ada apa yang kementerian perlu khuatir atau takut untuk membuat siasatan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri penyampaian tajaan Celcom untuk perlumbaan Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu di sini Jumaat.

Semalam, Lee dipetik sebagai berkata di sini bahawa pihaknya tidak menerima apa-apa bukti tentang kewujudan apa yang dikatakan Projek IC di negeri ini.

Masidi berkata siasatan perlu dilakukan sebelum menentukan kaedah yang sesuai untuk menanganinya termasuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja.(BERNAMA)

No comments:

Post a Comment