Saturday 8 October 2011

MOTO PDRM, ‘SAYA BOS DI JALAN RAYA!’



Saudara Pengarang,

SAYA amat hairan kenapa saya telah dijadikan mangsa saman pada jam 12:30 pagi, 8 Oktober 2011 di Harbour City, Kota Kinabalu disebabkan oleh angkara kereta-kereta sport yang dipecut laju laju sebelum saya tiba.

Kereta peronda polis bagaikan boss kerana tiga anggota polis tersebut datang dan terus menyaman saya, sedangkan saya tidak terlibat dalam kesalahan memecut di dalam Harbour City.

Saya dan rakan-rakan saya pergi ke Harbour City untuk berjumpa dengan peminat kereta tempatan. Kami cuma meletak kereta dan bercerita tentang kereta sahaja. Saya terasa amat kecewa kerana polis zaman sekarang seperti gangster apabila mereka bertindak menghukum saya disebabkan oleh kesalahan orang lain!

Korporal 125637 yang menulis saman tersebut langsung tidak berperi kemanusiaan dan menunjukkan muka samseng seolah-olah saya ialah penjenayah berat. Apa yang telah berlaku kepada PDRM hari ini?

Saya bersama-sama kawan yang meminati sukan automobil amat kecewa kerana pihak polis menganggap semua pemilik kereta sport sebagai orang yang bersalah dan mesti dihukum.

Sebenarnya saya akan terima saman sekiranya saya bersalah, tetapi saya baru sahaja masuk ke dalam kereta dan beredar dari Harbour City dalam keadaan yang berhati-hati, cermat dan selamat.

Apa salah saya? Korporal 125637 memang telah bertindak sebagai BOSS dan RAJA di jalanraya dan menghukum saya sebagai ‘Kambing Hitam’ untuk kesalahan yang dibuat oleh orang lain.

Kalau PDRM tidak tahu maksud ‘Kambing Hitam’, silalah masuk balik ke sekolah. Bila saya tanya apa kesalahan saya dan apa akta yang boleh digunakan untuk menyaman saya, mereka terus memandang ke arah langit.

Rupa-rupanya, mereka tidak kisah langsung. Saman sahaja. Janji kerja selesai. Di mana etika PDRM ini? Tuduhan yang tidak munasabah dan langsung tidak mempunyai bukti kukuh ini telah mengharumkan nama Polis Diraja Malaysia oleh Korporal 125637.

Kalau PDRM, mahupun kerajaan tidak mahu peminat sukan automobil membawa kereta secara bahaya, tolonglah buat litar untuk mereka meminati sukan ini dalam persekitaran yang terkawal dan selamat untuk sukan ini diperkembangkan secara meluas kerana sukan automobil di Sabah kini telah berkembang pesat tanpa batas.

Saya bukan cerita kosong kerana saya bekerja dalam satu-satunya majalah automobil di negeri Sabah iaitu Borneo Tuner. Saya amat bangga dengan kerja saya kerana hasil titik peluh saya sentiasa mengharumkan nama negeri Sabah yang saya banggakan.

Tetapi setelah bertembung dengan Korporal 125637 tadi, semangat saya hancur sama sekali. Saya bukan darah muda dan sentiasa memandu dalam keadaan yang selamat kerana saya tidak ingin menjadi contoh yang tidak baik kepada semua pembaca majalah saya.

Apakan daya, siapalah saya untuk mengharumkan nama negeri yang tercinta ini? Saya terasa amat sedih kerana merasa diri seperti difitnah dan dihukum untuk menanggung dosa dan kesalahan orang lain. Ya, saya mempunyai kereta sport import kerana ini adalah minat saya.

Memang kereta saya juga mempunyai ekzos import daripada Jepun tetapi saya TIDAK pernah memecut kereta saya. TIDAK! Saya tidak membisingkan ekzos kereta saya. Tahniah kepada Korporal 125637 dan dua sahabat beliau kerana anda adalah boss dan saya ialah penjenayah yang bekerja keras demi menaikkan nama negeri Sabah dalam sukan permotoran di rantau Asia Tenggara.

Saya tidak akan memaafkan PDRM di atas kekejaman yang merupakan contoh kemanusiaan yang ‘terbaik’ bagi diri saya hari ini. Tetapi saya tidak akan mencontohi amalan ini dan tidak suka menfitnah orang.

Biarlah PDRM teruskan perjuangan mereka dan saya tidak akan marah kalau diberi amaran dan diberitahu dengan baik agar jangan memecut dalam keadaan bising dan bahaya. Kenapa pula saman saya?

Setelah insiden hari ini, saya sendiri pun tidak tahu bagaimana saya boleh menghormati polis trafik yang sendiri tidak memakai tali pinggang keselamatan semasa berada di dalam kereta. Mentang-mentang mereka Boss di jalan raya, tetapi kenapa mereka tidak tahu bahawa ia adalah untuk keselamatan mereka sendiri. Tidak apalah, esok saya akan pergi membayar saman ke atas kesalahan kereta sport saya yang mempunyai ekzos yang mantap dan cantik.

Salam Hormat,

MANGSA CEMBURU POLIS

No comments:

Post a Comment