Wednesday 26 October 2011

MPS PROAKTIF BERSIHKAN PANTAI NAM TUNG


Oleh : CHANG SHAK HUNG

LAPORAN Sabahkini.net berhubung longgokan sampah yang banyak di kawasan pinggir laut di Bandar Nam Tung, Sandakan pada 13 Oktober 2011, telahpun mendapat reaksi daripada Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) apabila pihak kontraktor telah memulakan kerja-kerja pembersihan bermula pukul 12.00 tengahari, 25 Oktober 2011.

Tinjauan pada kali ini juga telah dibuat bersama dengan wakil daripada MPS, Jasli Ah Yuk serta Pengerusi Tongkang Sandakan, Fan Kwai Ming yang memberitahu bahawa keadaan kotor dan sampah sarap yang bertimbun ini berpunca daripada sikap penduduk yang tidak menghiraukan tentang aspek kebersihan di sekeliling mereka.

Yang menjadi mangsa, kata Fan adalah mereka yang begitu menekankan tentang kebersihan seperti pemilik-pemilik kedai di kawasan tersebut.

Persoalan pokok yang perlu dititikberatkan adalah mengapa longgokan sampah ini sentiasa berulang kembali? Adakah keberkesanan dengan penguatkuasaan undang-undang serta denda yang sepatutnya diberikan kepada mereka yang tidak mengendahkan tentang kebersihan masih belum dijalankan secara menyeluruh?

Bagi menjawab persoalan ini, Jalis menjelaskan bahawa MPS akan membersihkan kawasan berkenaan secara berkala dan berjadual memandangkan sampah-sarap sentiasa ada, walaupun pihaknya telah cuba membersihkannya.

Sabahkini.net dan Fan Kwai Ming mengucapkan terima kasih kepada MPS yang proaktif segera membersihkan kawasan tersebut sekalipun dikritik secara lantang.

Selaku Pengerusi Persatuan Tongkang Sandakan, Fan menjelaskan bahawa ahli persatuan mereka telahpun mencuba sedaya-upaya membersihkan kawasan di Kampung Pukat dengan cara memukat sampah sarap yang terapung di atas air, namun tidak dapat membersihkan sampah sarap yang terlalu banyak kerana sentiasa dibuang secara tidak tertib oleh orang yang mementingkan diri sendiri dan tidak bertanggungjawab.

Perlu diingat, kata Fan, bahawa Kampung Pukat merupakan salah satu tempat pelancongan kerana nilai sejarah serta mempunyai restoran makanan laut yang terkenal dan sikap penduduk asal Kampung Pukat yang mesra.

No comments:

Post a Comment