Monday 10 October 2011

NEGARA PINCANG TANPA MASYARAKAT BERMORAL



SIJIL....Azizah menyampaikan sijil kepada wakil peserta program Damai di Kuala Penyu sambil diperhatikan John (tiga kanan) dan Surinam (tiga kiri).

Oleh : ABU BAKAR ESAH

KEMAJUAN dari aspek fizikal dan ekonomi akan pincang sekiranya institusi keluarga dan masyarakat mengalami keruntuhan moral seperti terlibat dengan penagihan dadah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun berkata bagi mengelak berlaku anasir tidak sihat itu institusi keluarga dan pendidikan memainkan peranan penting dalam mencorakkan kehidupan anak-anak ke arah yang lebih bermakna.

Beliau berkata pembangunan individu yang bermoral berfungsi sebagai asas yang kukuh bagi membina sebuah negara bangsa yang bertamaddun.

“Kesedaran terhadap gejala dadah ini perlu pendedahan awal kepada anak-anak sejak dari seawal usia lagi. Kita perlu memberi kefahaman bahawasanya penyalahgunaan dadah itu mampu menjatuhkan nilai diri, membawa kebinasaan hidup, keluarga malah masyarakat secara total,” katanya.

Azizah berkata sebagai masyarakat yang prihatin mestilah terus berjuang membanteras gejala ini sehingga mencapai sifar dadah dalam tahun 2015.

Senario itu katanya, merupakan cabaran dan masalah yang perlu ditangani bersama oleh masyarakat dan bukannya diserahkan semata-mata kepada kerajaan.

TERIMA KASIH…..Surinam menyampaikan cenderamata kepada Azizah sebagai tanda terima kasih.

“Bagi mencapai matlamat membersihkan negara kita dari gejala dadah, kita perlu bersama memerangi gejala ini dengan penglibatan masyarakat, swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO), persatuan belia, dewan perniagaan, institusi keagamaan, institusi pendidikan, jabatan-jabatan kerajaan baik di peringkat daerah, negeri dan peringkat kebangsaan. Kita perlu bersama untuk merancang dan mengadakan aktiviti-aktiviti sepanjang tahun yang menjurus kepada hidup tanpa dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Damai anjuran Biro Hal Ehwal Wanita Pemadam Negeri Sabah dengan kerjasama Biro Hal Ehwal Wanita Pemadam Daerah Kuala Penyu, di Dewan Dato' Shah Bandar Makang di sini pada Sabtu.

Program itu diisi dengan taklimat mengenai Klinik Care & Cure (Klinik C&C), sesi ceramah dan motivasi dan pameran.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu, John Teo Mau Sing; Pengerusi Biro Hal Ehwal Wanita PEMADAM Negeri Sabah, Datuk Surinam Haji Sadikun; Pegawai Daerah Merangkap Pengerusi PEMADAM Daerah Kuala Penyu, Edmund Teo; Pegawai Eksekutif Najlis Daerah, Fazlie Abdullah; Pengerusi Biro Hal Ehwal Wanita PEMADAM Daerah Kuala Penyu, Siti Aminah Haji Aching.

Azizah yang juga Adun Klias berharap agar program yang diadakan itu menjadi landasan untuk menggembleng tenaga masyarakat setempat terutamanya kaum belia agar bersama-sama mengambil daya usaha dan inisiatif membanteras penyalahgunaan dadah.

PAMERAN...Azizah yang diiringi Surinam dan John melawat kaunter pameran pada selepas merasmikan program Damai di Kuala Penyu.

Beliau memberitahu kerajaan telah mewujudkan satu pendekatan baru dalam menangani penyalahgunaan dadah melalui penubuhan Klinik Care & Cure 1 Malaysia. Bagi negeri Sabah ianya berpusat di PUSPEN Papar yang lebih dikenali dengan sebagai Klinik C & C 1 Malaysia.

Katanya, Klinik C&C adalah sebuah pusat rawatan berkonsepkan terbuka yang mana penagih serta keluarga boleh datang ke klinik tersebut pada bila-bila masa tanpa perlu prosedur perundangan bagi mendapatkan rawatan dan khidmat nasihat daripada pegawai perubatan terlatih yang ditempatkan di klinik berkenaan.

“Saya yakin melalui kaedah ini kita akan lebih memahami keperluan mereka dan berusaha membantu pemulihkan penagihan,” kata sambi menyeru pemimpin masyarakat dan badan sukarela melaporkan masalah sosial yang berlaku.

Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kata Azizah, kita juga harus sentiasa peka dengan masalah sosial yang berlaku di sekeliling kita dan bertindak melaporkannya kepada pihak berkuasa.

“Peranan pemimpin-pemimpin di peringkat kampung, seperti ketua-ketua Kampung, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Rukun Tetangga dan RELA adalah amat penting dalam membantu memantau dan menangani masalah di kawasan masing-masing,” katanya.

Azizah yang juga Pengerusi Pemadan Negeri Sabah mengajak masyarakat mengubah sikap dan pemikiran untuk menerima dan membantu bekas penagih kembali ke pangkuan masyarakat dan membebaskan mereka dari belenggu dadah.

“Kita juga perlu menyedari bahawa usaha dan tindakan kita tidaklah memadai sekiranya kita masih sukar menerima semula bekas penagih yang telah pulih dan insaf. Kegagalan ahli keluarga dan masyarakat menerima bekas penagih adalah antara sebab mereka kembali semula kepada sahabat lama mereka dan menagih semula dan sudah tentu ini meningkatkan jumlah penagih berulang dari semasa ke semasa. Jika perkara ini dibiarkan, usaha kita menghapuskan penagih tidak akan berhasil,” katanya.

No comments:

Post a Comment