Thursday 13 October 2011

PERLU KOMITED LAHIRKAN TENAGA MAHIR


PAMERAN....Azizah yang diirining Markos melihat gambar aktiviti yang dipamerkan JPSM.

Oleh : ABU BAKAR ESAH

KERJASAMA dan komitmen dari pelbagai kementeriaan, agensi kerajaan, institusi pengajan tinggi awam dan swasta perlu memperkasakan latihan kemahiran bagi melahirkan tenaga mahir di negara ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Hajah Azizah Haji Mohd Dun berkata struktur ekonomi negara telah melalui proses transformasi daripada sebuah negara berasaskan pertanian kepada sebuah negara perindustrian dan perkhidmatan.

Sehubungan itu katanya, negara amat memerlukan bekalan tenaga mahir terlatih bagi memastikan kelangsungan pembangunan industri negara agar ianya lebih berdaya maju dan berteknologi tinggi.

“Usaha-usaha bersepadu bagi memperkasakan kemahiran teknikal perlu ditingkatkan untuk menyahut cabaran ekonomi semasa dan akan datang. Program pameran kerjaya dan latihan kemahiran seperti ini perlu giat dijalankan agar para belia dan beliawanis mendapat input mengenai peluang-peluang tenaga kerja yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata proses pembelajaran dan pendedahan berterusan kepada kaedah dan teknologi baru di pusat-pusat latihan amat penting bagi memastikan pelatih-pelatih yang dihasilkan dapat memenuhi kehendak industri dan pasaran.

IPT...Azizah melawat kaunter pameran institut pengajian tinggi pada program PLK di Beaufort .

“Kita tidak boleh sekali-kali terperangkap dengan sikap dogmatik mahupun nostalgik dalam menilai sesuatu pendekatan, ini kerana apa yang berkesan atau relevan hari ini belum tentu berkesan atau relevan di masa depan. Janganlah cepat berpuas hati terhadap apa yang dicapai, untuk terus berjaya kita mesti sentiasa berusaha untuk berada di hadapan keluk perubahan, bukan mengekorinya,” katanya.

Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias berkata kerajaan sentiasa komited menyediakan peluang dan akses kepada sesuatu kejayaan namun harus dimanfaatkan oleh rakyat dengan sebaik mungkin.

“Di bawah Gagasan 1Malaysia, kerajaan komited memastikan tidak ada rakyat di negara ini yang terpinggir dari mendapat peluang atau akses kepada kejayaan. Bagaimanapun kerajaan tidak boleh menjamin kejayaan mana-mana individu. Apa yang mampu kerajaan lakukan adalah menyediakan persekitaran yang kondusif untuk merealisasikannya,” katanya ketika merasmikan Pameran Latihan Kemahiran (PLK) anjuran Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) dan Pejabat Daerah Beaufort.

SOKONGAN... Sebahagian ibu bapa yang hadir pada program PLK di Dewan Baru Beaufort.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JPSM, Markos Siton, Pegawai daerah, Wong Foo Tin, Penolong Pegawai Daerah, Jufri Etok, Ketua Daerah, Wong Sami @Mohd Rozan dan dan Pemimpin Kemajuan Rakyat Dun Klias, Hj Saidin Musi.

Sementara itu Markos berkata Objektif PLK adalah untuk memberi peluang kepada semua pelajar sekolah menengah, para belia dan beliawanis di daerah Beaufort untuk meningkatkan pengetahuan tentang jenis-jenis latihan kemahiran yang boleh diikuti untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam berbagai bidang bagi memenuhi permintaan pasaran tenaga kerja.

Selain pameran program hari ini juga mengadakan ceramah bimbingan kerjaya bertujuan memberi pendedahan mengenai tatacara menghadapi temuduga dan mencari pekerjaan serta kaedah membuat perancangan kerjaya bagi mencerahkan peluang mendapat pekerjaan.

No comments:

Post a Comment