Sunday 23 October 2011

PANTAU PAPAN IKLAN DI SABAH



LANCAR…Lajim diiringi oleh Wong, Jupry dan Kusnadi memukul baduk sebagai simbol pelancaran majlis tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

PIHAK berkuasa tempatan (PBT) diarah memastikan semua bentuk paparan dan peragaan seperti papan iklan, papan tanda dan nama jalan di negeri ini menggunakan bahasa kebangsaan selaras dengan hasrat kerajaan memartabatkan bahasa itu dalam kalangan masyarakat.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, PBT perlu melakukan pemantauan secara berterusan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang gagal mematuhi peraturan tersebut.

''Perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana penggunaan bahasa yang salah pada papan-papan iklan bukan sahaja mencemarkan identiti kebangsaan malah menjejaskan imej Negara sebagai sebuah negeri maju," katanya.

PENUH TRADISI…Lajim disambut dengan persembahan silat sejurus tiba untuk merasmikan program tersebut.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Ahli Parlimen Bersama Masyarakat bersempana Bulan Bahasa Kebangsaan di Pentas Terbh Beaufort petang kemarin.

Hadir sama Pegawai Daerah Beaufort Wong Foo Then, Penolong Pegawai Daerah Jupry Etok dan pegawai Eksekutif Majlis Daerah Beaufort, Kusnadi Manuwar.

Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, selain aspek bahasa pada papan iklan, masyarakat juga digalakkan untuk menggunakan bahasa itu secara meluas dan sentiasa mempraktikkannya dalam bentuk percakapan dan penulisan.

''Bahasa kebangsaan dapat dimartabatkan apabila semua pihak tidak kira bangsa boleh bertutur dan menulis dengan baik serta menggunakannya dalam kehidupan seharian," katanya.

Terdahulu ketika berucap merasmikan majlis tersebut Lajim berkataUsaha mendaulatkan Bahasa Melayu di segenap lapangan merupakan tindakan murni yang bukan sahaja menepati semangat undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembangan Persekutuan yang memperuntukan kedudukan istimewa Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan di dalam perkara 152.

Katanya, usaha ini harus dilihat sebagai satu jihad untuk menguat dan mengekalkan identiti serta jati diri bangsa dan negara Malaysia.

“Adalah menjadi harapan kita semua di dalam kita menuju wawasan negara maju pada tahun 2020, kedaulatan bahasa kebangsaan terus utuh terpelihara,” katanya.

No comments:

Post a Comment