Tuesday 4 October 2011

PARLIMEN LULUS USUL TUBUH JPK



Persidangan Dewan Rakyat kelmarin meluluskan usul bagi menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya tanpa sebarang bantahan.

Usul yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pagi ini dipersetujui sebulat suara meskipun parti pembangkang mendesak supaya kerajaan memberi jaminan tidak mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dalam tempoh pelantikan jawatankuasa itu selama enam bulan.

Beberapa anggota Parlimen pembangkang, termasuk Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian), Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) dan Khalid Samad (PAS-Shah Alam) yang membangkitkan perkara itu menyifatkan penubuhan jawatankuasa itu sebagai gimik kerajaan semata-mata.

"Bila beri tempoh enam bulan untuk Jawatankuasa Pilihan Khas ini berbincang dan melaksanakan tanggungjawab, kita minta jaminan bahawa tidak ada pilihan raya dipanggil dalam tempoh itu kerana ini kehendak Perdana Menteri sendiri untuk mengadakan transformasi.

"Memang kita tidak nafikan hak Perdana Menteri untuk memanggil pilihan raya tetapi adakah hak itu sesuatu yang tidak boleh berubah?" soal Salahuddin ketika membahaskan usul itu.

Menjawab persoalan itu, Mohamed Nazri semasa menggulung usul itu menegaskan Jawatankuasa Pilihan Khas itu bukan jaminan pilihan raya tidak diadakan kerana kuasa untuk memanggil pilihan raya terletak di bawah bidang kuasa Perdana Menteri.

"PRU-13 bukan pilihan raya yang terakhir bagi Malaysia (dan) selepas itu dunia kiamat. Kalau pilihan raya cepat, kita akan laksanakan (cadangan Jawatankuasa) dalam PRU-14, 15, 16...," kata Mohamed Nazri.

Menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) mengenai penggunaan dakwat kekal, Mohamed Nazri berkata perkara itu diserahkan kepada jawatankuasa berkenaan untuk menilainya.

Mohamed Nazri berkata pada pilihan raya lepas kita tak dapat laksanakan penggunaan dakwat kekal itu pada saat-saat akhir atas kekangan membabitkan Perlembagaan.

"Antaranya soal kedudukan pengundi. Kalau mengikut Perlembagaan jika seseorang pengundi sudah mendaftar sebagai pengundi, dia ada hak untuk mengundi. Tetapi jika tiba hari pengundian, ada pengundi yang membuat bantahan kerana tidak mahu dicalit (dakwat), jadi bagaimana kedudukan dia sebagai pengundi?

"Itu antara masalah yang kita jangka boleh berlaku. Pada masa itu kita sememangnya tak ada jawapan yang boleh diberikan, sebab itu pada saat akhir kita tarik balik. Tapi sekarang kita sudah ada penemuan dan kita serahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas untuk dinilai bagi dilaksanakan pada PRU akan datang," katanya.

Berhubung tempoh pelantikan jawatankuasa selama enam bulan, Mohamed Nazri berkata ia satu tempoh munasabah dan membuktikan kesungguhan kerajaan untuk menyegerakan transformasi dalam pelaksanaan sistem pilihan raya di negara ini.

Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya bertanggungjawab untuk mengkaji perkara-perkara yang akan memperkukuhkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan mengkaji proses pilihan raya yang bebas dan adil serta mencari kata sepakat mengenai bentuk penambahbaikan yang perlu dilaksanakan pada pilihan raya akan datang.

Jawatankuasa itu terdiri daripada sembilan anggota Dewan Rakyat, iaitu lima anggota daripada Barisan Nasional (BN) (termasuk seorang menteri sebagai Pengerusi), tiga anggota daripada pembangkang dan seorang wakil rakyat Bebas.

Menerusi penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas itu, pihak yang tidak berpuas hati dengan sistem pilihan raya di negara ini melalui wakil mereka di Parlimen turut berpeluang memberi pendapat dan mengkaji secara mendalam sistem pilihan raya yang difikirkan lebih baik bagi mendukung dan mengukuhkan lagi demokrasi di negara ini. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment