Tuesday 18 October 2011

PAS, WADAH POLITIK PENDUDUK SG KOYAH



Oleh : FAIZAL OKADAU

SERAMAI 27 orang penduduk kampung Sungai Koyah, DUN Sukau menyertai PAS kerana tidak sanggup terus ditindas dan dirampas hak mereka. Bagi membuktikan kesungguhan dan keinsafan, mereka telah menyerahkan borang menyertai PAS kepada Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hj Hamzah Abdullah.

“Tanah yang kami terokai, hutan belantara yang kami bersihkan, pokok-pokok yang kami tebang , lalu kami tanam dengan pokok sawit dan kami menetap di sini, selama lebih 20 tahun, tiba-tiba dikatakan ini hak orang lain, hak taukeh Cina,” kata Udin Yunos yang mengetuai 27 penduduk menyertai PAS.

Tambah Udin, pendudu kampung dianggap sebagai penceroboh sedangkan mereka yang memasuki tanah dengan cara yang ditetapkan oleh Jabatan Tanah; memohon pemilikan ke atas tanah serta membayar premium yang sewajarnya, mendapat kebenaran dan sokongan JKKK dan mantan Adun Sukau, Datuk Zaki Gusmiah di era pemerintahan BERJAYA.

“Ketika itu, Datuk Zaki kata, siapa buka tanah dengan memohon di Jabatan Tanah Kota Kinabatangan; dia tanam dan dia tinggal di situ, maka dialah punya tanah itu. Tetapi setelah tanah yang kami usahakan dengan kudrat dan airmata kami mendatangkan hasil, macam mana boleh menjadi hak orang lain? Lagipun kami juga selalu berurusan di pejabat tanah, bukan di kaki lima,” jelas seorang rakannya.

Tanah yang dibuka pada tahun 1987 dan telah ditanam sawit sejak 1991 dan telah mendatangkan hasil itu kini dikatakan menjadi milik individu Cina dan mereka dipaksa keluar daripada tanah tersebut.

Lebih menyedihkan lagi, individu Cina yang mengatakan tanah yang telah diusahakan dan dipohon penduduk kampung sebagai milik mereka, telah menggunakan pihak keselamatan untuk menganiaya dan menghalau pendudu.

Sejak tahun 2001, sejarah hitam mula terlakar apabila 13 buah rumah penduduk kampung Koyah Bersatu telah dirobohkan dan kayunya diangkut keluar; hasil tanaman dirampas oleh individu Cina berkenaan yang kononnya mendapat perintah mahkamah.

“Kerajaan selalu janji mau basmi kemiskinan, tapi kalau rumah yang kami duduk pun di roboh, sedangkan kalangan kami ini mempunyai anak-anak yang masih belajar dan anak yatim, macam mana mau basmi kemiskinan?” soal Udin dengan nada kesal.

Sementara itu, Haji Hamzah, dalam ucapannya menyeru penduduk Koyah Bersatu bangkit menentang kezaliman UMNO dan Barisan Nasional yang ditunjangi oleh pemimpin yang mengutamakan kekayaan peribadi dan membiarkan rakyat bawahan terus ditindas.

“Dalam kepayahan tuan-tuan mempertahankan hak, mana pemimpin Barisan Nasional? Berapa kali ADUN Sukau yang ada sekarang ini datang untuk membantu tuan-tuan? SedangKAN sudah puluhan tahun tuan-tuan bergelut dengan kezaliman ini?” soal Hj Hamzah.

Kata Haji Hamzah, umat Islam jangan terlalu dayus dengan membiarkan diri mereka diperhambakan untuk pemimpin Barisan Nasional yang hidup serba mewah di dalam genangan kolam air mata rakyat yang serba serbi miskin.

“Kita yakin dengan penyertaan dan keazaman tuan-tuan untuk bersama dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS), akan membuka mata pemimpin BN,” jelas Haji Hamzah lagi.

Haji Hamzah yang diiringi Yang Dipertua PAS Kinabatangan dan Setiausaha Pemuda PAS Sandakan, Mustaman Mustin turut menyakini dokongan ini akan melonjakkan PAS untuk lebih gagah menentang BN di DUN Sukau pada pilihanraya Umum ke 13 nanti.

No comments:

Post a Comment