Tuesday 11 October 2011

PBTM KENANG JASA WIRA 13 MEI



KENANGAN…Allahyarham Jedeh Haji Hassan (depan) semasa beliau bertugas sebagai mata-mata dan terlibat dengan peristiwa Rusuhan Kaum 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

PERSATUAN Bekas Tentera Malaysia Bahagian Sabah (PBTM) dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid Kampung Lubak akan mengadakan majlis Tahlil sempena memperingati pemergian seorang pejuang Negara, Mata Mata 47460, Jedeh Haji Hassan (gambar), berasal dari kampung tersebut yang terlibat dengan Peristiwa 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur.

Majlis yang akan diadakan pada malam 14 Oktober 2011 di masjid Kampong Lubak, Beaufort dijangka akan dihadiri dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga penasihat PBTM Bahagian Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin.

Yang Dipertua (PBTM) Sabah Abd.Sanon Haji Sapari berkata, majlis tersebut bertujuan untuk memperingati jasa serta sumbangan Allahyarham Jedeh yang turut berjuang mempertahankan keamanan serta kedaulatan Negara.

“PBTM Bahagian Sabah bersama penduduk khususnya di kampung ini amat menghargai jasa, sumbangan serta jasa Allahyarham terhadap bangsa, agama dan Negara. Melalui majlis ini, kita berharap masyarakat secara keseluruhannya akan menghargai jasa serta pergorbanan keseluruhan anggota pasukan keselamatan di seluruh Negara,” katanya ketika ditemui di sini, pagi kelmarin.

INGAT JASA…Abd.Sanon (tengah) bersama penduduk setempat ketika membersihkan kubur Allahyarham Jedeh Haji Hassan.

Sebelum itu Abd.Sanon yang juga Pengerusi Masjid Kampung Lubak mengetuai hampir 100 orang penduduk setempat bergotong -membersihkan tanah perkuburan Islam kampong Lubak, termasuklah pusara Allahyarham Jedeh.

Allahyarham Jedeh yang lahir pada 8 Julai 1950 dan meninggal dunia pada 8 Julai 1969 iaitu kira-kira sebulan Allahyarham cedera ketika bertugas mengawal rusuhan kaum yang berlaku di Kuala Lumpur pada 13 mei 1969

Sementara itu, ketika diminta mengulas Bajet 2012 mengenai insentif RM50 juta bagi 175,000 bekas tentera yang tidak menerima pencen akan disalurkan bagi mewujudkan peluang perniagaan atau kerjaya kedua kepada golongan terbabit, Abd.Sanun berkata ia merupakan berita gembira bagi semua bekas tentera di negara ini kerana kerajaan peka dan prihatin dengan nasib bekas tentera yang terlibat.

“PBTM Bahagian Sabah menyambut baik perkara ini, sekurang-kurangnya sebagai satu penghargaan kerajaan kepada kami dan dengan insentif ini memberikan peluang untuk kami meneruskan kehidupan selepas bersara dari perkhidmatan tentera,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment