Saturday 1 October 2011

PDRM GAGAL JAMIN KESELAMATAN KENINGAU?



Oleh : JAIKOL JERRY

MENTERI Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Hajiji Haji Mohd Noor meminta pihak polis dan pihak keselamatan mengambil tindakan serius mengawal keselamatan di Daerah Keningau.

Beliau berkata demikian, baru-baru ini selepas majlis penyerahan bangunan Pejabat Majlis Daerah Keningau (MDK) kepada Pegawai Daerah Keningau, Amat Mohd Yusof.

Beliau mengulas satu kes bunuh yang berlaku pada pagi 29 September di Keningau dan juga kes rompakan pada 22 September lebih kurang jam 7.00 malam apabila tiga orang telah merompak sebuah kedai di Pekan Keningau.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Majlis Penatua ‘Council Of Elders’ (PKR) Sabah merangkap Pengerusi Majlis Penatua Zon Pedalaman Atas Keningau, Robert Linggi berkata kes yang berlaku pada hari ini dan kes rompakan baru-baru ini telah menunjukkan tahap keselamatan di Keningau perlu ditingkatkan.

Beliau berharap kerajaan BN membantu melindungi rakyatnya yang telah membayar cukai kepada kerajaan, namun pada masa kini, kerajaan telah bertahun-tahun tidak dapat mengawal keselamatan sehingga berlaku kejadian seperti kes bunuh di Ulu Bariawa dan kes kebakaran kereta di Kampung Durok.

Semua ini harus dikaji semula kerana tahap keselamatan di Daerah Keningau kini serius dan keselamatan rakyat tidak terjamin. Beliau berkata demikian kepada Sabahkini.net yang meminta berita ini disiarkan bagi memberi kesedaran kepada kerajaan BN yang ada sekarang.

Robert Linggi merupakan seorang bekas anggota polis pada tahun 1980-an dan pernah menjadi Pegawai Narkotik Pedalaman (polis). Pada waktu itu, beliau berkata di Pedalaman khasnya Keningau kes jenayah tidak begitu serius, namun kini beliau berasa hairan mengapa anggota polis keselamatan boleh duduk dengan kumpulan kongsi gelap.

Walaupun pegawai polis kanan telah dipindahkan ke daerah yang lain, namun setiap bulan mereka datang ke Keningau untuk berhubung dengan orang berkenaan. Robert Linggi berkata, Keningau telah menjadi daerah yang ‘gelap’ kerana ada orang yang terlibat dengan kes bunuh dan dipenjara selama 10 tahun, namun selepas itu ia dibuang ke Keningau.

Selain itu, ramai kumpulan gelap dari Sarawak dan Tawau telah menjadikan Keningau sebagai kubu mereka. Sesiapa yang mengganggu aktiviti-aktiviti mereka seperti menjual 4D gelap, rokok seludup dan minuman keras seludup, mereka akan mengarahkan sebuah kumpulan ‘illegal police’ (pendatang asing) untuk mengugut sekiranya tidak mengikut arahan mereka.

Bagaimanapun, Robert Linggi berkata ramai penduduk tenpatan takut membuat laporan polis kerana laporan mereka akan segera sampai ke pengetahuan kumpulan kongsi gelap.

Pihak keselamatan apabila menerima laporan seperti ini, mereka hanya mengatakan orang itu telah lari, kes sedang dalam siasatan atau mengatakan ketiadaan bukti. Begitulah keadaan yang terjadi di Keningau dan sekiranya pihak kerajaan tidak mengambil perhatian, mungkin akan lebih banyak berlaku kes-kes jenayah sehingga mengakibatkan kematian.

Robert menarik perhatian bahawa kelmarin dulu, 29 September 2011, lebih kurang jam 4.40 pagi berlaku pembunuhan di sebuah rumah di Taman Kang Lok melibatkan seorang ibu tunggal, Kartini Binti Borhan dari Kg Banjar.

Turut sama cedera dalam kejadian berkenaan, seorang Pegawai Kanan Polis, Inspektor Ahmad Rizal Omar, 29, yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Keningau.

Ketua Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib yang datang ke Keningau untuk menyiasat perkara ini berkata, belum ada sebarang tangkapan dibuat berhubung dua kes berkenaan setakat ini.

No comments:

Post a Comment