Saturday 1 October 2011

PEMANSUHAN ISA, PM JANGAN TERLALU BANGGA



BERUCAP…..Roger sedang berucap di majlis bertemu ahli SAPP Kg Sawang yang dihadiri kira-kira 200 orang.

Oleh: THAMPPAREQ KITOES

NAIB Ketua Pergerakan Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) CLC Melalap, Roger Stimin menyifatkan tindakan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bukanlah sesuatu yang menakjubkan semua pihak; tetapi sudah lama dinanti-nantikan oleh segenap lapisan rakyat di negara in.

Malahan, pengumuman Perdana Menteri baru-baru ini amat melegakan banyak pihak kerana akta itu (ISA) sudah tidak relevan lagi di dalam situasi semasa negara yang berada dalam keadaan aman dan harmoni.

“Sesungguhnya, pengumuman Perdana Menteri itu dilakukan berdasarkan kehendak suara majoriti rakyat yang mahukan ISA dimansuhkan, bukan dilakukan secara berseorangan,” kata beliau di hadapan kira-kira 200 orang dalam satu perjumpaan ahli ahli SAPP di Kg Sawang, kira-kira 15 km dari Tenom, kelmarin.

Kata Roger, beliau sendiri tidak mengetahui sejarah ancaman Komunis ini ketika berlaku di Malaysia termasuk penggunaan ISA, namun semuanya berlaku sebelum kelahiran beliau. Bagaimanapun peristiwa hitam itu hanya diketahui melalui buku sejarah dan juga mendapat cerita daripada orang lama, khususnya bekas Polis yang mengetahui peristiwa itu.

Tegasnya lagi, dalam keadaan negara yang menghadapi ancaman getir dari Komunis pada ketika itu, sudah pastilah penggunaan ISA amat relevan kerana selain memerangi pengganas Komunis, usaha membanteras para surbversif pro Komunis yang bergerak menyusup di akar umbi menyebar dakyah pengaruh Komunis juga perlu dibanteras dan ditahan di bawah ISA.

Beliau menambah, malangnya apabila tugas memerangi Komunis telah tamat selepas mereka (Komunis) meletakkan senjata dan berdamai dengan kerajaan sekitar tahun 1989, penggunaa ISA masih berterusan sehingga menjadi kekesalan rakyat.

Roger yang juga seorang Peguam menegaskan, ISA tidak boleh digunakan untuk menahan seseorang yang melakukan kesalahan jenayah seperti pemalsuan kerakyatan atau pemalsuan Kad pengenalan; sebaliknya mereka itu harus dibicarakan di Mahkamah terbuka mengikut Undang-Undang Jenayah.

BINCANG….. Roger sedang berbincang dengan penduduk berhubung isu semasa berkaitan masa hadapan penduduk Kg Sawang.

Dalam pada itu, Roger turut mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa sekiranya kerajaan yang memerintah gagal menangani masalah rakyat, terutamanya masalah tanah termasuk tanah adat (NCR), maka rakyat mempunyai hak untuk menukar kerajaan secara demokrasi menerusi pilihanraya umum akan datang.

“Rakyat mempunyai hak membuat keputusan, sama ada mahu memilih semula wakil wakil rakyat yang gagal menjalankan tugas dan tanggung jawabnya di kawasan itu atau tidak. Itu adalah hak rakyat, kerana rakyat merupakan penentu mutlak siapa pemimpin dan siapa kerajaan yang mereka harus pilih,” tegas Roger.

Beliau menegaskan, Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 153 berhubung Pewartaan kuota mengenai perkhidmatan, Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra mana-mana negeri termasuk Sabah dan Sarawak yang mempunyai hak dan kepentingan yang sah.

Bermakna hak keistimewaan Bumiputra turut mendapat perlindungan dari segi peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam apa juga bentuk, yang patut dimiliki Bumiputera dan tidak boleh dengan sewenang-wenangnya diperlekehkan oleh kerajaan yang memerintah.

No comments:

Post a Comment