Wednesday 19 October 2011

PEMBUKAAN TMTS UNTUK AKTIVITI MENYELAM



BAGI menggalakkan ekopelancongan di kawasan Taman Marin Tun Sakaran di sini, beberapa kawasan taman itu akan dibuka sebagai tempat menyelam untuk pengunjung.

Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS), Paul Basintal berkata pihaknya mengenal pasti 56 kawasan di sekitar taman marin itu yang mempunyai batu karang yang menarik dan sesuai dijadikan tempat menyelam.

Beliau berkata pada masa ini, dua kawasan menyelam iaitu berhampiran Pulau Mantabuan dan Pulau Sibuan dibuka kepada pengusaha pelancongan untuk membawa pelawat menyelam dalam jumlah yang terhad.

"Kawasan menyelam yang lain akan dibuka secara perlahan-lahan dengan pemantauan yang ketat terutama menghadkan bilangan penyelam pada satu masa," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Bengkel Identifikasi Batu Karang di Pulau Buheydulang dekat sini hari ini.

Taman Marin Tun Sakaran berkeluasan 35,000 hektar diwartakan sebagai taman marin dibawah TTS pada 2005. Ia mempunyai lapan pulau iaitu Boheydulang, Tatagan, Mantabuan, bodgaya, Maiga, Sibuan, Selakan dan Sebangkat.

Paul berkata kemudahan asas seperti pondok rehat dan kemudahan tandas untuk penyelam juga akan dibina di Pulau Sibuan.

Beliau berkata antara tarikan ekopelancongan lain yang akan dibangunkan di taman marin itu tahun depan ialah pembinaan laluan jalan kaki mendaki bukit di pulau Buhey Dulang untuk pelawat yang gemar menjelajah kawasan hutan dan menikmati pemandangan menarik. (BERNAMA)

1 comment:

  1. Pembangunan dan pelancongan disabah semakinmeningjat!!Bagus,ttp Rakyat sabah ttap ktinggalan dan hidup dalam kmiskinan!!Mna keadilan!!

    ReplyDelete