Wednesday 26 October 2011

PEMUDA PAS SABAH CABAR MUSA AMAN


Oleh : MOHD FIRDAUS BIN MUHAMMAD NOR

“JIKA benar Musa Aman orang Sabah, maka beliau dicabar memberi penjelasan terbaik buat warga Sabah”. Itulah cabaran Pemuda PAS Sabah kepada Kerajaan Negeri khususnya Datuk Seri Musa Aman dalam menangani isu berhubung penjualan tiga buah pulau Sabah yang diiklankan untuk dijual oleh sebuah laman web asing yang berpusat di Kanada.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Lahirul Latigu berkata PAS mengambil pendirian serius berhubung isu berkenaan memandangkan ianya berkait mengenai kedaulatan dan keselamatan negara khususnya negeri Sabah pada masa kini dan akan datang.

“Kenapa pulau ini menjadi bahan dagangan, sedangkan ianya khazanah berharga kepada sesebuah negeri?”, soalnya kepada sidang media di Pejabat PAS Sabah, Kota Kinabalu, pagi kelmarin.

Kata Lahirul, PAS memberi tempoh tujuh hari untuk memberi peluang kepada Ketua Menteri, Musa Aman bagi menjawab semua persoalan dan isu berhubung penjualan pulau tersebut

“PAS juga akan membawa isu ini kepada kementerian yang bertanggungjawab serta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dibahaskan di Parlimen,” ujarnya.

Tambahnya, kempen ‘Selamatkan Pulau-Pulau Sabah’ yang dilancarkan pada 16 Oktober lalu akan diteruskan ke seluruh Malaysia dengan kerjasama bersama Pemuda PAS Malaysia.

“DPPNS menyeru agar masyarakat turut sama beramai-ramai membantah aktiviti penjualan khazanah negara ini dengan menandatangani petisyen secara online di laman http://www.thepetitionsite.com/1/save-sabahs-islands,” jelasnya.

Kempen mengumpul tandatangan sedang giat diadakan di pusat-pusat membeli belah seluruh Sabah yang kini telah digerakkan oleh seluruh ahli Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah.

Beliau juga mendakwa, isu tanah di Sabah terutama di kawasan pedalaman yang gagal ditangani oleh kerajaan Sabah sebagai punca ketirisan kepimpinan kerajaan pimpinan Musa Aman dalam mentadbir Sabah dengan baik.

Sebaliknya, beliau menganggap sekiranya kerajaan Sabah telus dan ikhlas memperjuangkan hak rakyat maka golongan muda juga seharusnya diberikan hak pemilikan tanah.

Dalam sidang media itu juga, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Mohd Zulfikar Abd. Mijan pula menempelak Musa Aman yang jangan hanya pandai memerintah, tetapi memekakkan telinga apabila berhadapan isu kedaulatan.

“Jangan tahu perintah saja, tapi orang jual pulau dia buat-buat tidak tahu,” sinisnya.

Sidang media tersebut turut dihadiri Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar dan kepimpinan Pemuda PAS Sabah.

No comments:

Post a Comment