Thursday 27 October 2011

PEMUDA PBRS TOLAK PENGGUNAAN PLASTIK



EDAR….Ketua Pemuda PBRS Sook, Kahirin mengedarkan beg kepada orang awam di Pekan Sook dibantu AJK Pergerakan Pemuda Sook, Arthur Joseph Kurup.

Oleh : MEDIA PBRS

KEMPEN Penggunaan Beg Tanpa Plastik terus dipromosikan ke luar bandar dengan kerjasama Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). Kempen tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran penduduk di kawasan luar bandar tentang pengunaan beg plastik yang mencemarkan alam sekitar dan kesannya.

Ketua Pemuda PBRS Sook, Kahirin Bador berkata, kempen tersebut adalah satu usaha murni pergerakan pemuda untuk meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat luar bandar termasuklah melibatkan golongan pelajar dan orang awam.

Beliau berkata demikian sempena program Kempen Penggunaan Beg Tanpa Plastik peringkat Daerah Kecil Sook. Aktiviti itu anjuran bersama Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Penerangan.

“Para pelajar dan orang awam diberi taklimat oleh Jabatan Alam Sekitar mengenai risiko penggunaan plastik kepada masa depan dan pencemaran yang disebabkannya,” kata Kahirin.

Tambahnya, Pemuda PBRS berpendapat kempen seumpama itu penting di kawasan luar bandar kerana penduduk di kawasan itu juga menggunakan plastik dalam jumlah yang banyak seharian, dan kempen seumpama itu dapat mendidik masyarakat untuk mengurangkan penggunaan plastik melalui kempen itu.

Sempena program itu juga Pemuda PBRS turut memberi ceramah tentang Teknik Pembelajaran Berkesan kepada pelajar SMK Sook sebagai persediaan peperiksaan SPM hujung tahun ini.

Pergerakan Pemuda PBRS Sook turut mengedarkan 1,000 beg kepada orang ramai di Pekan Sook dan Tamu Sook bagi memberi kesedaran untuk mengurangkan penggunaan plastik.

No comments:

Post a Comment